MERSING – Kesetiaan seekor gajah yang berada di samping anaknya yang mati dilanggar kereta meruntun hati pengguna Jalan Felda Nitar menghala ke Kahang di sini semalam.
Ibu gajah tersebut tidak berganjak dan berada di situ tanpa menghiraukan kenderaan yang lalu lalang sejak kemalangan berlaku kira-kira pukul 2 pagi.
Gajah berkenaan terpaksa dialihkan oleh oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor yang datang ke lokasi tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, Perhilitan Johor menerima laporan kejadian itu pukul 8.30 pagi semalam.
“Pihak Perhilitan segera menghantar anggota ke lokasi bagi menjalankan siasatan serta tindakan susulan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seekor anak gajah betina dianggarkan berusia lima tahun mati akibat kejadian tersebut, manakala seekor gajah dewasa yang merupakan ibu anak gajah berkenaan masih berada di sekitar lokasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kumpulan gajah tersebut dikenal pasti daripada ID Jamaluang-Mersing.
Jelasnya, bagi memastikan keselamatan awam serta kebajikan hidupan liar berkenaan, Unit Tangkapan Gajah daripada Pusat Santuari Gajah Johor (JES) bersama-sama pihak Perhilitan mengambil tindakan mengalihkan ibu gajah itu ke kawasan lebih selamat.
Katanya, bangkai anak gajah pula sudah diuruskan dan ditanam mengikut prosedur ditetapkan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan Perhilitan Johor, JES, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta semua agensi yang terlibat atas tindakan pantas dan profesional dalam menguruskan kejadian ini.

“Pemantauan dan rondaan akan terus dilaksanakan oleh pihak Perhilitan Daerah Mersing sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penduduk setempat serta mengelakkan kejadian berulang,” katanya.
Dalam masa yang sama beliau menyeru pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan yang berdekatan dengan habitat hidupan liar, khususnya pada waktu malam dan di laluan yang dikenal pasti mempunyai pergerakan haiwan liar.
Sementara itu, Komandaer Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Azalan Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pukul 2.28 pagi.
Susulan itu katanya, seramai sembilan anggota dibantu Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang terbabas dalam gaung sedalam 5 meter selepas melanggar seekor anak gajah.
“Terdapat seorang lelaki berusia 31 tahun tersepit dan mengalami kecederaan pada bahagian kaki,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, piak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum membawanya ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan lanjut.- MalaysiaGazette
















