Naib Presiden Keadilan, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan sempena Kempen Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) di Senggarang, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 1 JULAI 2026.

BATU PAHAT – Pakatan Harapan (PH) berhasrat menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi di Johor menerusi perancangan ekonomi yang lebih tersusun dan strategik.

Lantaran itu, rakyat dirayu agar memberikan mandat kepada calon-calon PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 supaya hasrat tersebut dapat direalisasikan, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, antara fokus utama PH adalah memastikan rakyat Johor tidak lagi bergantung kepada pekerjaan di Singapura dengan menyeberangi Tambak Johor setiap hari semata-mata untuk mencari rezeki.

“Pelaburan yang dibawa masuk ke Johor perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti dengan tawaran gaji setimpal berdasarkan kelayakan akademik dan kemahiran tenaga kerja tempatan.

“Kita mahu memastikan pelaburan yang masuk ke negeri Johor mampu diterjemahkan kepada gaji yang setimpal dengan kelayakan akademik serta kemahiran tinggi anak-anak muda tempatan.

“Di Selangor, sebanyak 60,000 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan dalam tempoh setahun bagi membantu rakyat meningkatkan taraf hidup serta mengurangkan kadar pengangguran.

“Kejayaan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan bergaji tinggi itu membuktikan formula pentadbiran PH berkesan dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan di pekarangan Pekan Senggarang, di sini, malam ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, PH turut komited memastikan pembangunan dan kemajuan ekonomi diagihkan secara lebih seimbang ke seluruh daerah termasuk Rengit, Senggarang dan Kluang.

Katanya, keadilan ekonomi bermaksud setiap rakyat tanpa mengira lokasi perlu menikmati peluang pembangunan serta kemudahan infrastruktur yang sama rata.

“Komitmen PH adalah untuk memastikan tiada lagi daerah yang terpinggir daripada arus perdana kemajuan negeri Johor yang mempunyai potensi pasaran ekonomi yang sangat luas,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast