Abdul Mutalib Abd Rahim

KLUANG – Berhijrah daripada UMNO dan bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bukan satu pengkhianatan.

Calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Mutalib Abd Rahim, 56, yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang Layang berkata, perlu dilihat punca dan sebab berbuat demikian.

Beliau yang keluar UMNO minggu lalu dan masuk Bersatu sebelum diberi peluang bertanding di kerusi tersebut berkata, dilabelkan sebagai seorang pengkhianat adalah keterlaluan sedangkan sudah lama memberi berkhidmat dalam UMNO.

“Namun saya tidak sedikit pun merasa kesal atau kecewa apabila tidak dicalonkan semula mewakili Barisan Nasional (BN) untuk membolehkan saya bertanding di kawasan Layang Layang.

“Apabila dua calon yang bertanding di DUN Layang Layang sama ada BN atau Pakatan Harapan (PH) adalah calon bukan Melayu serta bukan pemastautin di Simpang Renggam apatah lagi Layang Layang, ini menjadikan satu tanda tanya kepada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, masyarakat Melayu di kawasan itu bertanya kepadanya siapa yang harus mereka pilih apabila tiada calon Melayu dalam majoriti kawasan Melayu sebelum menyarankan kepadanya bertanding sebagai calon Bebas atau di bawah satu parti lain.

“Jika calon yang dicalonkan oleh BN tempoh hari adalah calon Melayu tidak mungkin saya melakukan tindakan ini malah saya antara orang yang akan memberikan sokongan sebagai penyandang kerusi DUN Layang-Layang ini,” katanya.

Tambah Abdul Mutalip, secara asasnya penduduk Layang Layang memerlukan seorang pemimpin yang sentiasa berada dekat dengan mereka dan atas sebab itu mereka memerlukan calon anak tempatan untuk dijadikan wakil suara rakyat.

“Berkhidmat sebagai Exco Agama pada tahun 2013 hingga 2018 sebelum dipilih semua sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Layang Layang pada 2022 hingga 2026 selain anak jati Felda Layang Layang menjadikan saya sudah sebati dengan kehidupan masyarakat di sini,” katanya.

Abdul Mutalip sebelum keluar UMNO sebelum menjadi ahli Bersatu dan dicalonkan di kawasan DUN Layang Layang pada kali ini.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast