KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pembangunan ilmu masyarakat menerusi penganjuran Karnival ExploreSTREAM 5.0 USIM–Masjid Abu Al-Darda’ (MAAD) yang menghimpunkan kira-kira 500 pelajar sekolah di Masjid Abu Al-Darda’, Nilai Impian,semalam.
Program berimpak tinggi itu melibatkan penyertaan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nilai Impian dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nilai Impian bagi memberi pendedahan awal terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (STREAM).
Majlis perasmian disempurnakan Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani menerusi kerjasama strategik dengan Masjid Abu Al-Darda’.
Menurut Sharifudin, penganjuran kali ini turut menyaksikan pertukaran Letter of Intent (LoI) antara USIM dan Masjid Abu Al-Darda’ sebagai asas kepada pengukuhan kerjasama strategik antara universiti, institusi masjid, sekolah serta komuniti setempat.
“Kerjasama ini membuka ruang kepada pelaksanaan lebih banyak program pendidikan berimpak tinggi pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, karnival itu turut mencerminkan komitmen USIM dalam memperkasa pelaksanaan Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM), iaitu pendekatan pembelajaran yang menghubungkan ilmu di bilik kuliah dengan keperluan sebenar masyarakat.
Katanya, menerusi pendekatan itu, mahasiswa bukan sahaja mempelajari teori di dalam kelas, malah berperanan sebagai pembimbing kepada komuniti dalam mengaplikasikan ilmu secara praktikal dan bermakna.
Sepanjang program berlangsung, peserta menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuk pameran reruai, explorace serta aktiviti hands-on yang dikendalikan mahasiswa USIM.
Modul yang diperkenalkan merangkumi bidang sains, teknologi, agrokimia, kimia air, fizik komputasi, fisiologi, pengurusan risiko dan seni bina landskap bagi menyemai minat pelajar terhadap bidang STREAM.
Selain memberi manfaat kepada peserta, program itu turut menjadi platform kepada mahasiswa USIM mengasah kemahiran insaniah menerusi pengurusan program, komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan pembentangan projek.
Penganjuran Karnival ExploreSTREAM 5.0 melibatkan kerjasama Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (CETL), Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) serta Masjid Abu Al-Darda’.
Program itu dilihat selaras dengan aspirasi USIM dalam melahirkan graduan yang berilmu, beramal dan berbakti, di samping memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti serta menggalakkan generasi muda meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi berteraskan nilai Islam. -MalaysiaGazette
















