QUETTA, Pakistan – Sekurang-kurangnya 40 orang maut selepas sebuah bas penumpang terjunam ke dalam gaung di wilayah barat Pakistan pada Jumaat, menurut pihak berkuasa.

Manakala 11 lagi penumpang cedera.

“Bas penumpang yang dalam perjalanan dari Quetta ke Peshawar terjunam ke dalam gaung dalam di kawasan pergunungan Dana Sar… 40 orang disahkan maut dan 11 lagi cedera,” kata Ketua Pusat Kecemasan daerah Zhob, Sanaullah Sherani.

Menurutnya, semua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital, dengan tiga daripadanya dalam keadaan kritikal.

“Bas itu jatuh kira-kira 70 hingga 80 kaki (21 hingga 24 meter) ke dalam gaung,” tambah beliau.

Katanya lagi, operasi menyelamat menghadapi kesukaran kerana kawasan berbukit dan sukar diakses.

Jurucakap Ketua Menteri Balochistan, Shahid Rind pula berkata, bas berkenaan bertolak dari Quetta pada malam Khamis.

Malah, bas itu juga mengambil penumpang tambahan daripada sebuah bas lain yang rosak dalam perjalanan, menyebabkan kenderaan tersebut menjadi terlebih muatan.

Siasatan punca kejadian yang berlaku berhampiran sempadan wilayah Khyber Pakhtunkhwa sedang dijalankan.

Pasukan penyelamat dari kedua-dua wilayah juga telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Kemalangan jalan raya sering berlaku di Pakistan akibat penguatkuasaan undang-undang trafik yang lemah, pemanduan laju, keadaan jalan yang buruk dan pemanduan berbahaya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast