MUAR – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani melahirkan rasa kesal selepas mendakwa poster kempennya ditutup jentera kempen pihak lawan.
Dakwa Mohamad Shafwan, beliau melihat sendiri perbuatan tidak bertanggungjawab itu yang dilakukan beberapa individu ketika dalam perjalanan pulang selepas sesi ceramah di Ulu Choh, Iskandar Puteri, malam tadi.
Sehubungan itu, beliau menyelar perbuatan tersebut yang disifatkan politik tidak matang dan menegaskan kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak sepatutnya dicemari dengan taktik lapuk sedemikian.
“Kita sepatutnya bersaing melalui idea, khidmat kepada rakyat dan tawaran dasar, bukannya dengan merosakkan atau mengganggu bahan kempen pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohamad Shafwan berkata, beliau telah membuat laporan rasmi kepada Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Dalam masa sama, beliau memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap parti yang terlibat sekiranya insiden seperti itu berulang.
“Kempen pilihan raya mesti berlangsung secara bersih, adil dan menghormati proses demokrasi.
“Saya dan pasukan akan terus berkempen secara berhemah, mematuhi undang-undang serta fokus membawa mesej kepada rakyat.
“Biarlah rakyat menilai berdasarkan kerja, integriti dan keikhlasan, bukannya melalui permainan politik kotor,” katanya. – MalaysiaGazette
















