KAHANG – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan manifesto ‘Johor Untuk Semua’ yang dilancarkan Pakatan Harapan (PH) hari ini bukan sebuah manifesto sebenar sebaliknya sekadar helah meningkatkan angka daripada program sedia ada kerajaan negeri.
Menurutnya, kandungan dokumen berkenaan dilihat lebih kepada meniru dasar-dasar yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika ini untuk dijadikan modal janji pilihan raya.
“Sebuah manifesto yang tulen sepatutnya membentangkan dasar atau polisi baharu yang berwibawa bukannya sekadar gimik menaikkan jumlah sasaran program sedia ada.
“Saya tak baca lagi (secara penuh) tapi saya dengarlah daripada pegawai-pegawai saya. Banyak perkara yang dibentangkan dalam manifesto mereka, cuma meningkatkan angka-angka program-program yang sedia ada oleh kerajaan negeri hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian diminta mengulas mengenai peluncuran manifesto PH Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 selepas menghadiri Program bersama masyarakat Orang Asli di Kahang di sini hari ini.
“Kalau mereka gunakan dasar kita untuk ditokok tambah dengan janji-janji pilihan raya, Wallahu’alam, sama ada ia akan ditunaikan atau tidak.
“Itu bukan manifesto bagi saya,” katanya.
Bagaimanapun, Hishammuddin tetap akan meneliti tawaran bertema ‘Johor Untuk Semua’ itu dengan lebih mendalam sebelum membuat ulasan lanjut.
“Tapi saya kena kajilah lebih teliti,” katanya lagi.
Terdahulu, PH Johor hari ini melancarkan manifestonya yang mengandungi 10 tawaran utama, termasuk hasrat membina 80,000 unit Rumah Mampu Milik dalam tempoh lima tahun dan pengenalan Skim Kesihatan Johor. – MalaysiaGazette
















