LAWATAN rasmi tiga hari Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Australia bukan sahaja mengukuhkan hubungan pertahanan Malaysia-Australia demi keamanan dan kestabilan serantau, malah turut membuka peluang kepada syarikat kedua-dua negara meneroka kerjasama strategik dan pemindahan teknologi yang lebih terkini.
Ini dibuktikan menerusi pemeteraian kerjasama strategik antara syarikat Malaysia, Weststar Group menerusi anak syarikatnya, Weststar Defence
Industries Sdn. Bhd. dan syarikat aeroangkasa serta teknologi pertahanan Australia, Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI).
Perjanjian kerjasama yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan di Canberra pada
1 Julai lalu, bukan sekadar melibatkan aspek pengeluaran, malah turut merangkumi pembinaan fasiliti pengeluaran roket di Malaysia dalam tempoh dua tahun sebelum berkembang kepada penghasilan misil pada masa hadapan.
Ia bukan sahaja memberi ruang kepada Malaysia dari sudut pelaburan, ekonomi dan pemindahan teknologi namun apa yang lebih penting adalah mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan sistem serta aset pertahanan daripada pembekal asing sejajar dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Mohamed Khaled menyatakan bahawa kerajaan memberi sokongan penuh terhadap kerjasama tersebut kerana kepakaran RTI dalam teknologi roket dan misil memberikan Malaysia akses terhadap keupayaan yang lebih canggih.
Pendedahan strategik kepada kepakaran RTI ini bakal membuka ruang untuk industri tempatan mempelajari serta menguasai teknologi baharu melalui pemindahan teknologi, sekali gus memperkasa keupayaan negara sebagai pengeluar mandiri bagi aset pertahanan bernilai tinggi.

Selain itu, pelaburan Weststar juga membolehkan Malaysia menjadi sebahagian daripada rangkaian bekalan global RTI, sekali gus membuka peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia lain untuk berkembang dalam ekosistem pertahanan antarabangsa.
Selain menyaksikan pemeteraian kerjasama antara Weststar dan RTI, Mohamed Khaled juga diberi penghormatan untuk mengadakan pertemuan sambil bertukar pandangan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles.
Pertemuan itu memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin untuk berkongsi idea mengenai usaha memperkukuh kerjasama pertahanan selain meneroka peluang strategik yang dapat memberi manfaat kepada Malaysia dan Australia.
Mohamed Khaled dan delegasi Malaysia turut diberikan sambutan rasmi di Parliament House, Canberra oleh Speaker of the House of Representatives, Milton Dick MP selain berpeluang bertemu dengan beberapa Ahli Parlimen Australia.
Hadir sama ialah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datin Paduka Sharrina Abdullah.
Pertemuan peringkat tertinggi itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Australia untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama strategik yang telah sekian lama terjalin.

Dalam memenuhi jadual yang padat, Menteri Pertahanan terus memimpin delegasi Malaysia untuk mengunjungi Institute for Space, Defence and Advanced Technologies (ISDAT) di University of Southern Queensland (USQ) yang memberi fokus kepada penyelidikan gunaan termasuk dalam bidang bahan komposit.
Bukan sekadar kunjungan biasa, lawatan tersebut adalah bagi mendapatkan gambaran sebenar bagaimana industri boleh memanfaatkan kepakaran institusi akademik untuk membangunkan teknologi dan produk pertahanan mereka.
Pendekatan sedemikian pastinya penting dalam memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan negara sejajar dengan aspirasi DIPN.
Mohamed Khaled dan delegasi Malaysia yang disertai Panglima Tentera Udara, Jen. Tan Sri Muhamad Norazlan Aris, Naib Canselor UPNM, Lt. Jen. Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif, National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia), Prof. Ts. Shamsul Kamar Abu Samah, pegawai kanan ATM serta wakil Weststar Defence Industries Sdn Bhd dan RTI turut mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor dan Presiden USQ, Profesor Paul Mazerolle.
Mereka diberi taklimat ringkas selain berpeluang meninjau lebih dekat kemudahan makmal Advanced Composite Manufacturing dan makmal Hypersonic yang dibangunkan melalui kerjasama dengan beberapa syarikat industri pertahanan termasuk RTI. -MalaysiaGazette















