Nazifuddin (kiri) hadir dalam Program Bual Bicara Santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu II di Kluang, hari ini.

KLUANG – Naratif yang dimainkan bahawa kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor akan menyebabkan pembebasan Datuk Seri Najib Razak tiada kaitan langsung kerana bukan berlaku pertukaran Perdana Menteri.

“Ia menjadi hak mutlak Yang di-Pertuan Agong sama ada membebaskan atau tidak dan saya percaya kalau Boss Ku (Najib) dibebaskan, pasti ramai yang gembira,” kata Exco Pemuda UMNO, Datuk Nazifuddin Mohd Najib.

Beliau yang juga anak Najib itu berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Bual Bicara Santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu II di sini hari ini.

“Jika ada yang terkesan dengan kemenangan BN nanti dan ingin meletakkan jawatan ia diterima dengan rasa besar hati malah jika ingin berbuat demikian sekarang juga amat digalakkan,” kata Nazifuddin.

Dalam pada itu, beliau berkata jika BN mendapat majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini, ia adalah isyarat rakyat sudah kembali kepada gabungan parti berkenaan.

Beliau berpendapat, kemenangan besar itu nanti membawa mesej bukan sahaja rakyat Johor tetapi juga seluruh negara kini kembali menyayangi BN.

Justeru, beliau mengharapkan pengundi di Johor akan terus memberikan mandat kepada BN kerana sudah terbukti keberkesanannya walaupun hanya dalam satu penggal dan percaya akan menjadi lebih baik pada penggal akan datang.

“Saya mengharapkan masa depan Johor yang lebih baik dan untuk perancangan masa depan yang panjang kita harap pemerintahan kerajaan BN dapat diteruskan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast