JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) jika sudah sedia bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk membentuk kerajaan negeri perlu menyatakannya sekarang bukan selepas rakyat selesai mengundi nanti.
Pengarah Pilihan Raya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Johor, Rasid Abu Bakar berkata, PH perlu berani berterus terang sekarang terutama selepas Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR), Johor, Dr Maszlee Malik yang terbuka menyatakan pendirian itu.
“Maszlee tidak boleh hanya mencabar BN supaya berterus terang tetapi pada masa yang sama mengharapkan rakyat menerima kerjasama PH-BN tanpa mengetahui apakah sebenarnya yang akan dibawa bersama selepas pilihan raya.
“Rakyat Johor tidak wajar dijadikan penonton kepada sandiwara politik. Di Johor bergaduh untuk meraih undi, di Putrajaya duduk semeja membentuk kerajaan.
“Jika itu akhirnya yang mahu dilakukan selepas pilihan raya, berterus teranglah dengan rakyat sebelum mereka mengundi, bukan selepas keputusan diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam Maszlee dilaporkan berkata, PH terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan negeri selepas berakhirnya PRN Johor.
Maszlee berkata, ia termasuk menjalin kerjasama dengan pihak yang mungkin berlainan dengan haluan gabungan parti politik tersebut.
Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Seri Dr Sahruddin Jamal menegaskan, gabungan itu tetap tidak akan bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor itu berkata, gabungan itu terbuka bergabung dengan parti mempunyai ideologi sehaluan.
Selain itu, Maszlee yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa secara sinis mencadangkan agar BN memasukkan isu pengampunan diraja terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam manifesto BN pada PRN Johor.
Mengulas lanjut, Rasid berkata, pihaknya hairan cadangan Maszlee supaya BN memasukkan agenda pembebasan Najib dalam manifesto BN dan pada masa sama turut menyatakan PH terbuka bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya.
“Kalau begitu, Maszlee juga patut mencadangkan perkara yang sama kepada PH. Kalau PH benar-benar bersedia membentuk kerajaan bersama BN selepas pilihan raya, masukkan sahaja agenda pembebasan Najib dalam manifesto PH.
“Jangan suruh BN sahaja berterus terang, PH juga perlu jujur dengan rakyat Johor. Rakyat Johor berhak mengetahui bentuk kerajaan yang bakal dibentuk dan prinsip yang menjadi asas kepada kerjasama tersebut sebelum mereka mengundi, bukannya selepas keputusan pilihan raya diumumkan,” ujarnya.
Jelasnya, manifesto adalah kontrak dengan rakyat dan jika PH sudah bersedia bekerjasama dengan BN, jangan hanya bercakap tentang pembentukan kerajaan.
“Berterus terang juga tentang perkara-perkara yang akan menjadi sebahagian daripada kerjasama itu,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















