MUAR – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan perbuatan merosakkan bahan kempen parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sebagai budaya kuno.
Menurutnya, perbuatan seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan pihak-pihak yang bertanding seharusnya bertarung secara sihat.
“Saya fikir budaya seperti ini adalah budaya kuno yang sudah tak wajar dipertimbangkan. Bertarunglah, berlawanlah dengan sihat, berkempenlah dengan sihat.
“Seingat saya sewaktu kempen di Parlimen Lembah Pantai dulu pun ada elemen-elemen gangsterime seperti ini dan perbuatan ini bukan sahaja menakut-nakutkan calon bertanding dan pasukan mereka, malah juga orang ramai,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program ceramah PH sempena PRN Johor ke-16 di Bakri di sini, malam tadi.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ditanya berkenaan beberapa insiden bahan kempen dirosakkan termasuk bendera PH yang dibakar dalam kejadian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat serta beberapa papan iklan (billboard) yang turut dirosakkan di kawasan tertentu.
Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beliau turut menerima aduan terdapat pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan akaun WhatsApp menggunakan nama dan wajah calon yang bertanding untuk menyebarkan maklumat palsu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pengundi supaya sentiasa cakna dan mengambil tahu berkenaan situasi semasa memandangkan bukan semua maklumat yang disebarkan adalah betul atau tepat.
“Orang ramai perlu sentiasa sahkan maklumat yang diterima. Para pengundi juga perlu sentiasa merujuk kepada media-media arus perdana yang boleh dipercayai,” katanya.
Sementara itu, ditanya jumlah aduan yang diterima berhubung maklumat palsu di media sosial berkait kempen PRN Johor ke-16, Fahmi berkata, beliau setakat ini belum menerima maklumat terkini daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Tetapi semua platform media sosial telah memaklumkan election misinformation adalah satu bentuk pelanggaran garis panduan komuniti platform.
“Kita nak elak daripada berita palsu tersebar,” katanya.
















