Khairul Azhar Mohd Yusof ketika ditemui di gerai menjual buah-buahnya di Jalan Sungai Lembing

KUANTAN – Meskipun jualan buah durian membanjiri pasaran ketika ini, namun jualan manggis yang terkenal jolokan ‘Ratu Buah’ tidak kurang hebatnya.

Salah seorang peniaga buah-buahan, Khairul Azhar Mohd Yusof, 41, yang ditemui di gerainya di Jalan Sungai Lembing, di sini berkata, dia mampu menjual sehingga 100 kilogram manggis sehari.

“Kedai kita pun tak besar, jadi kalau sehingga 100 kilogram tu boleh lah habis terjual sehari.

“Tapi kalau hujung minggu boleh terjual lebih 100 kilogram. Stok buah-buahan pula memang sampai setiap hari, jadi buah-buah memang baru,” katanya.

Khairul Azhar Mohd Yusof

Dia memberitahu sudah berniaga di lokasi terbabit sejak tahun 2014 dan menjual pelbagai jenis buah tempatan dan import mengikut musim.

Kali ini, dia menjual buah manggis sekitar RM20 bagi 3 kilogram, rambutan pula dijual RM10 sekilogram dan buah nenas dijual RM10 selonggok.

“Tahun ni harga buah lebih murah. Manggis ke rambutan ke, memang lagi murah. Mungkin sebab musim buah serentak kot. Atau kebun buah berbuah serentak.

“Dari Johor, Pahang, Perak, Terengganu dan Kelantan, kiranya semua tempat ada buah serentak. Mungkin tu sebab murah,” jelasnya.

Sementara itu, salah seorang pembeli, Norazwani Yusoff, 43 ketika ditemui berkata, anaknya gemar buah rambutan dan manggis yang hanya boleh dibeli apabila musimnya berbuah.

Jelasnya, buah durian sentiasa boleh didapati, lebih-lebih lagi di Pahang yang memang terkenal antara pengeluar durian terbesar Semenanjung Malaysia.

Norazwani Yusof

“Lagipun, anak saya yang baru pulang bercuti dari asrama memang gemar rambutan ni. Dan saya pun dah lama tak makan manggis.

“Alang-alang harga murah, jadi saya beli dua-dua. Dah rasa tadi, manis manggisnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast