KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkukuh peranan sebagai peneraju sains marin negara apabila menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pertama Mengenai Mikroplastik (1st International Conference on Microplastics – ICM2026), menghimpunkan saintis, penyelidik, pembuat dasar, industri dan pengamal alam sekitar dari seluruh dunia.
ICM2026 ini telah berlangsung pada 1 hingga 2 Julai lalu dengan penyertaan delegasi antarabangsa dari Indonesia, China, Jepun, Kanada, Australia, Korea Selatan, Filipina, Thailand serta India, sekali gus mencerminkan kepentingan global dan keprihatinan bersama komuniti antarabangsa terhadap isu pencemaran
mikroplastik.
Dianjurkan menerusi Microplastics Research Interest Group (MRIG) dengan kerjasama UMT Consultancy Services Sdn. Bhd. (UMTCS), persidangan bertemakan “Scientific Frontier in Microplastics and Pollution Control” ini menjadi platform strategik untuk merangka penyelesaian inovatif serta memperkukuh kerjasama saintifik global dalam menangani pencemaran mikroplastik.
ICM2026 memfokuskan kepada cabaran kritikal pencemaran mikroplastik yang kini dikesan secara meluas dalam ekosistem marin, air tawar, sedimen, rantaian makanan dan organisma hidup, sekali gus berpotensi
menjejaskan biodiversiti serta kesihatan manusia.
Sebagai universiti rujukan dalam bidang marin, maritim dan akuatik, UMT terus komited memacu penyelidikan berimpak tinggi melalui pendekatan bersepadu merangkumi pemantauan alam sekitar, pembangunan metodologi analisis, penilaian risiko serta strategi mitigasi pencemaran yang mampan.
Menurut Naib Canselor UMT, Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim, penubuhan MRIG memperkukuh keupayaan penyelidikan universiti dengan menghimpunkan kepakaran pelbagai disiplin, di samping memperluas jaringan kolaborasi bersama universiti, agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan rakan industri di peringkat nasional dan antarabangsa.
Tambahan beliau, melalui ICM2026, UMT akan sentiasa memberi komitmen bagi menerajui kecemerlangan penyelidikan dan menjadi pemain utama dalam usaha global memelihara kelestarian alam sekitar serta melindungi ekosistem demi kesejahteraan sejagat.
Sepanjang persidangan, para peserta membentangkan penemuan penyelidikan terkini merangkumi teknologi baharu, kesan mikroplastik terhadap ekologi dan kesihatan manusia, strategi kawalan pencemaran serta rangka kerja perundangan dan hala tuju penyelidikan masa hadapan.
Penganjuran ICM2026 dijangka memperkukuh jaringan penyelidikan antarabangsa, meningkatkan penerbitan bersama, memperluas mobiliti penyelidik dan pelajar serta merapatkan kerjasama antara akademia, kerajaan, industri dan komuniti dalam usaha menangani pencemaran mikroplastik secara lebih berkesan. – MalaysiaGazette
















