JOHOR BAHRU –Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 80 warga asing selepas melakukan serbuan di dua buah kilang dalam Kawasan Perindustrian Larkin, di sini semalam.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Mahir dilakukan pukul 9 pagi di kilang komponen jam dan kilang pengeluar makanan ringan popular yang menghasilkan produk seperti kek lapis, biskut dan konfeksi coklat.
“Serbuan ini berjaya membongkar penggunaan pekerja asing tanpa pas yang sah, apabila seramai 80 warga asing ditahan.
“Mereka dipercayai bekerja tanpa kebenaran, gagal mengemukakan dokumen sah serta melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mereka terdiri daripada lima lelaki dewasa warganegara Pakistan, 16 lelaki dewasa Bangladesh, sembilan lelaki dewasa Indonesia, enam lelaki dewasa Myanmar, 13 wanita Indonesia dan 31 wanita dewasa Myanmar.
Jelasnya, turut ditahan seorang warga tempatan yang merupakan pegawai sumber manusia kilang tersebut dan mereka berusia antara 19 tahun 48 tahun.

Katanya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963.
Tambahnya, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Serbuan ini adalah hasil pemantauan intensif selama beberapa minggu, susulan maklumat mengenai kegiatan majikan yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah bagi mengelakkan kos penggajian yang lebih tinggi,” ujarnya.
Operasi itu katanya, melibatkan sepasukan pegawai Penguat Kuasa Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor dengan bantuan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
“JIM Johor menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dan diperluaskan ke seluruh negeri Johor.
“Mana-mana pihak yang cuba mencabar undang-undang Imigresen negara akan berhadapan tindakan keras, selaras dengan komitmen kerajaan dalam menjaga keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara,” katanya.- MalaysiaGazette
















