Screenshot

GEORGE TOWN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang kini menjalankan siasatan berhubung seorang buruh binaan warga Indonesia maut selepas dihempap perancah pelantar kerja yang terjatuh dari aras lapan sebuah bangunan dalam pembinaan di Bandar Tanjong Pinang di sini.

JKKP Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, kejadian kira-kira jam 1.30 petang pada Rabu lalu itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai berada di bahagian bawah bangunan iaitu di laluan luar bangunan pembinaan, berhadapan kawasan rehat pekerja dan sedang berurusan dengan majikannya sebelum perancah pelantar kerja itu terjatuh dari aras lapan lalu menghempap mangsa serta sebuah kenderaan milik majikan.

“Sejurus menerima laporan, kita telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan Notis Larangan bagi menghentikan aktiviti kerja yang berkaitan serta Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu bagi memastikan kawasan kemalangan dikekalkan dalam keadaan asal sehingga siasatan selesai.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan memanggil majikan dan saksi-saksi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, siasatan memberi tumpuan kepada aspek pematuhan terhadap kewajipan majikan di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), serta peraturan berkaitan.

Jelasnya, sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap mana-mana peruntukan undang-undang, tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku di tempat kerja, khususnya yang melibatkan kehilangan nyawa.

“Semua majikan, pemaju, kontraktor utama dan subkontraktor diingatkan supaya memastikan setiap aktiviti kerja dirancang dan dilaksanakan secara selamat melalui penilaian risiko yang komprehensif, penyediaan sistem kerja selamat, penyeliaan yang berkesan serta pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“JKKP akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi kehendak undang-undang sehingga mengakibatkan kemalangan atau kehilangan nyawa di tempat kerja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast