KUALA LUMPUR – Dua pelajar lelaki sekolah menengah cedera selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Persiaran Bangi Avenue, Bangi, Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian itu membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta yang berlaku sekitar jam 12.50 tengah hari.
“Siasatan mendapati, sebuah motosikal jenis Honda EX5 ditunggang pelajar lelaki berusia 16 tahun telah terlanggar bahagian belakang kiri sebuah Perodua Myvi yang sedang bergerak lurus.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal itu hilang kawalan kemudian terjatuh di atas jalan
“Pada masa sama, sebuah motosikal Yamaha FZ150 ditunggang pelajar lelaki berusia 17 tahun bersama pembonceng lelaki berusia 16 tahun datang dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar motosikal Honda EX5 yang terjatuh,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua penunggang motosikal itu mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Pembonceng motosikal Yamaha FZ150 pula mengalami kecederaan ringan manakala pemandu dan dua orang penumpang Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Tambah Naazron, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















