JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal kerana negara sudah hampir 70 tahun merdeka tetapi masih ada pihak yang bergaduh tentang kaum.
Perdana Menteri berkata, terdapat seolah-olah wujud perbezaan untuk menentukan siapa dan di mana boleh ‘berkawan’.
“Ini kaum boleh kawan, DAP tak boleh kawan. Di KL, DAP boleh kawan, di Johor tak boleh. Ini apa punya negeri. Ini negara Malaysia. Biar rakyat yang tentukan dengan siapa dia mahu berkawan.
“Orang Cina, Melayu dan India boleh hidup bersama. Ini kita kena ingat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam dan Dialog PMX Bersama Masyarakat Cina di Cathay Restaurant, Eco Spring di sini malam ini.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, perkara yang paling penting adalah program pembangunan untuk rakyat di negeri itu tanpa mengira kaum.
Katanya, negara termasuk Johor sudah lama merdeka dan ia adalah kali pertama kerajaan Persekutuan memberikan fokus yang utama untuk pembangunannya.
“Johor Bahru ok (pembangunannya), di Simpang Renggam emmm… dan di Mersing out, sebab itu kita bawa pelaburan besar masuk. Siapa yang bawa masuk, kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri.
“Jadi, tidak usah gaduh-gaduhlah. Ini negeri, Johor, kalau menang (Pilihan Raya Negeri) saya turut kerja dan katakan kalah saya kerja juga. Jadi, siapa ketua negeri Johor hormat sikitlah, jangan sombong, kena jaga (hubungan) supaya kita boleh bekerjasama,” tegasnya.
Jelasnya, kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan adalah sama penting. – MalaysiaGazette
















