KUALA LUMPUR – Hari pertama operasi Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam pada Isnin lalu merekodkan 58,865 penumpang – jauh melepasi jangkaan awal iaitu sekitar 10,000 pengguna.
Pempengaruh media sosial, Lim Sian See berkata, jumlah itu hampir menyamai sasaran purata harian 67,000 penumpang pada akhir tahun ini.
Beliau yang juga pengkritik kerajaan berkata, tidak sampai seminggu beroperasi, rata-rata pengguna mengadu LRT3 yang dikenali sebagai Laluan Shah Alam itu mengalami kesesakan.
“Tren kurang, kapasiti kecil manakala stesen diperkecilkan. Platform dipendekkan. Tempat parkir pun dipotong besar-besaran.
“Hari ini hari ke-enam dan ia jauh lebih sesak. Ini bukti jelas bahawa permintaan sebenar memang wujud dari awal, ” ujar beliau dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Perkhidmatan dikenali sebagai Laluan Shah Alam mula beroperasi 29 Jun lalu merekodkan sambutan luar biasa dan menawarkan tambang percuma selama 30 hari.
Menurut Sian See, lebih memalukan, pada hari pertama operasi, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyatakan, syarikat itu terpaksa mengkaji semula operasi LRT3 kerana jumlah pengguna jauh lebih tinggi daripada jangkaan.
Beliau turut menyifatkan, perancangan asal ketika zaman Datuk Seri Najib Razak lebih tepat kerana ia dibuat untuk kapasiti masa depan.
“Ia bukan sekadar cukup-cukup makan atas kertas. Anthony Loke, Lim Guan Eng dan Tony Pua mesti bertanggungjawab.
“Bukan sahaja atas kelewatan enam tahun sebelum LRT3 akhirnya dibuka, tetapi juga atas kesusahan rakyat yang mungkin terpaksa ditanggung untuk bertahun-tahun selepas ini.
“Gagal merancang merupakan rancangan untuk gagal (fail to plan is planning to fail. Dan LRT3 ini bukti paling jelas,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















