Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bergambar bersama Penduduk Kampung Istana pada Program Penyerahan Pelaksanaan Projek Menaik Taraf Balai Raya Serta Kerja-Kerja Yang Berkaitan di kampung istana di Balai Raya Kampung Istana, Batu Pahat, Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 4 JULAI 2026.

BATU PAHAT – Tiada mana-mana parti boleh dianggap mempunyai sokongan kekal di kerusi tertentu atau deposit tetap termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Fahmi Fadzil berkata demikian membalas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan pengundi bukan Melayu bukan lagi ‘deposit tetap’ DAP.

Menurutnya, pendirian bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon PH juga menjadi bukti isu ‘deposit tetap’ tidak lagi relevan dalam landskap politik semasa.

“Saya tak pernah fikirkan mana-mana satu undi itu adalah undi tetap sebagai contoh sebelum ini ramai yang beranggapan Dr. Puad Zarkashi adalah undi tetap UMNO-BN, terbukti hari ini tidak.

“Jadi jawapan balas saya ialah mungkin di kalangan UMNO Johor yang mereka anggap sebagai undi tetap ataupun fixed deposit, kenyataan daripada Dr. Puad Zarkashi itu membuktikan itu bukan lagi fixed deposit kepada UMNO Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Menaik Taraf Balai Raya serta kerja-kerja yang berkaitan di Kampung Istana hari ini.

Semalam, Ismail Sabri berkata, pengundi bukan Melayu kini tidak lagi boleh dianggap sebagai ‘deposit tetap DAP’ dalam pilihan raya selepas melihat semua calon DAP ditolak pengundi pada PRN Sabah lalu.

Bekas Perdana Menteri itu percaya keadaan sama tidak mustahil boleh berlaku di PRN Johor apabila menyaksikan sokongan yang diterima BN daripada pengundi bukan Melayu ketika ini.

Puad yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO hari ini mengiystiharkan sokongan kepada calon PH bagi kerusi DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri pada PRN Johor.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzi bercakap pada media pada Program Penyerahan Pelaksanaan Projek Menaik Taraf Balai Raya Serta Kerja-Kerja Yang Berkaitan di Balai Raya Kampung Istana, Batu Pahat, Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 4 JULAI 2026.

Ditanya adakah tindakan Puad menyokong Mohamad Yazid menjadi bukti PH semakin mendapat tempat dalam kalangan penyokong lawan, Fahmi berkata, perkembangan tersebut mengukuhkan lagi hujah tiada parti mempunyai ‘deposit tetap’ termasuk UMNO.

“Bila Dr Puad mengeluarkan kenyataan menyokong calon PH di DUN Rengit dan sebelum ini kita lihat ada anggota Bersatu menyokong calon PH di DUN Sri Medan, tak mustahil dalam hari-hari yang akan datang lebih ramai yang membuat kenyataan seperti itu.

“Jadi, saya lihat ini sekali lagi membuktikan bahawa PH mempunyai daya tarikan sendiri,” katanya.

Menurut Fahmi, perkembangan itu turut mencerminkan PH mempunyai daya tarikan tersendiri khususnya selepas prestasi kerajaan di peringkat Persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast