BATU PAHAT – Seorang warga emas tidak menyangka bermula dengan enam ekor itik penelur secara suka-suka pada 2017, berkembang menjadi sumber pendapatan.
Md Jalil Awang, 69, dari Kampung Parit Gombak di sini tdak menyangka kini mampu mengeluarkan kira-kira 250 biji telur dengan pulangan pendapatan sekitar RM200 hingga RM300 sehari.
Md Jalil Awang,69, dari Kampung Parit Gombak di Batu Pahat berkata, semuanya bermula selepas menyertai Skim Insentif Intergrasi Ternakan dengan Sawit (ITe).
“Skim ini mengubah keseluruhan rutin kehidupan harian kami sekeluarga dan berjaya meningkatkan pendapatan bulanan.
“Melalui bantuan bawah kelolaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjumlah RM15,000, perusahaan untuk menghasilkan telur itik kini berjaya dilaksanakan selepas pembelian 200 ekor baka penelur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di kampungnya hari ini.

Jelasnya, setiap hari antara 200 hingga 300 biji telur itik dihasilkan namun semuanya habis ditempah penduduk sekitar sama da penjual atau pengusaha produk hiliran seperti kaya dan telur itik masin.
“Memang tidak cukup, malah ada tempahan saya terpaksa tolak atau kumpul secara perlahan-lahan sebelum dihantar dan insentif disediakan oleh MPOB ini amat baik untuk peserta yang berminat.
“Sekiranya ada yang berminat dan memenuhi syarat diperlukan MPOB, saya amat menyarankan bahawa ITe ini amat baik sekali disamping mampu menambah pendapatan hingga empat angka sebulan,” katanya.
Sementara itu, Noraini berkata, kejayaan Md Jalil Awang boleh dijadikan panduan kepada pekebun-pekebun sawit di seluruh negara.
Ujarnya, selain ITe, pihaknya juga menyediakan Skim Insentif Intergrasi Tanaman dengan Sawit (ITA) dimana kedua-dua insentif ini membantu pekebun kecil tidak hanya bergantung kepada hasil sawit semata-mata.
“Sejak 2023 hingga Mei tahun ini, projek yang diusahakan oleh Md Jalil berjaya menghasilkan purata pendapatan sampingan sehingga RM4,000 sebulan,” katanya.- MalaysiaGazette
















