MUAR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram lega kehadirannya diterima secara terbuka oleh masyarakat Cina selepas tujuh hari berkempen.
Menurut Datuk Azman Ismail, sehingga hari ini beliau sudah menemui lebih 50 peratus masyarakat Cina di kawasan itu dan mereka menyatakan sokongan kepada BN dan berjanji akan keluar mengundi pada 11 Julai nanti.
Katanya, keadaan itu jauh berbeza ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Simpang Jeram pada September 2023 yang menyaksikan hanya 54 peratus daripada 40,379 pengundi keluar mengundi.
“Walau bagaimana pun, gerak kerja kempen akan diteruskan sehingga hari terakhir dan diharapkan dapat menemui semua pengundi samada kaum Cina, Melayu dan India di kawasan ini.
“Saya amat berkeyakinan dengan pendekatan yang dilakukan daripada sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 lagi akan membolehkan mereka memberikan kepercayaan BN untuk menjadi wakil suara rakyat di sini,” katanya ketika ditemui.
Azman turut berharap jentera parti komponen iaitu MCA dan MIC selain UMNO Bahagian Bakri tidak luntur semangat serta terus bekerja untuk mendekati seberapa banyak pengundi bagi meraih sokongan.
Pihaknya tidak akan memberikan janji bulan dan bintang yang mustahil untuk dilaksanakan bagi meraih sokongan namun berpegang teguh kepada manifesto ditawarkan oleh BN Johor.
“Ini kerana setiap tawaran dikemukakan adalah sesuatu yang realistik untuk dilaksanakan malahan ia sudah dilakukan dan akan dipanjangkan kepada masa akan datang demi Bangsa Johor,” katanya.- MalaysiaGazette
















