Ketua Penerangan RESET Malaysia, Datuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berucap pada Himpunan RESET Johor di Danga Bay, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 05 JULAI 2026. (GAMBAR FAIL)

JOHOR BAHRU – Gerakan Reset Malaysia mahu menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai titik permulaan bagi menggerakkan ‘Gelombang Reset’ ke seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), meskipun parti itu tidak bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Ketua Penerangannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, baki tempoh seminggu berkempen akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggerakkan jentera dan penyokong Gerakan Reset bagi membantu membina momentum politik yang akan diteruskan ke beberapa negeri lain.

Menurut beliau, gerakan itu akan bermula di Johor sebelum diteruskan ke Negeri Sembilan, Melaka dan seterusnya diperluaskan ke seluruh negara sebagai persiapan menghadapi PRU16.

“Kita tidak bertanding secara langsung dalam PRN Johor, namun itu tidak bermakna kita tidak memainkan peranan. Kita akan menggerakkan seluruh kekuatan yang ada sepanjang baki tempoh kempen ini.

“Gelombang ini bermula di Johor, kemudian diteruskan ke Negeri Sembilan, Melaka dan akhirnya ke seluruh Malaysia menuju PRU16,” katanya ketika berucap pada Himpunan Reset di Danga Bay malam ini.

Setiausaha Agung RESET Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bersama barisan kepimpinan ketika hadir pada Himpunan RESET Johor di Danga Bay, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 05 JULAI 2026.

Beliau berkata, Gerakan Reset mempunyai penyokong di beberapa kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor yang diyakini mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya, justeru kekuatan itu tidak harus dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, mesej utama yang dibawa Gerakan Reset ialah memperkukuh peranan semak dan imbang terhadap kerajaan, selain mengajak rakyat membuat penilaian terhadap dasar serta pentadbiran negara.

Katanya, sepanjang baki tempoh kempen, Gerakan Reset akan terus membantu membina persefahaman dengan pihak yang berkongsi matlamat sama bagi memastikan mesej tersebut dapat disampaikan kepada seramai mungkin pengundi.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu kos bahan api dengan mempersoalkan mekanisme yang digunakan kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat susulan perubahan dasar berkaitan harga bahan api.

Beliau berkata, kerajaan perlu memberikan penjelasan yang jelas supaya rakyat memahami bagaimana sebarang perubahan dasar tidak akan terus meningkatkan kos sara hidup.

Selain itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau akan terus membangkitkan isu berkaitan kedudukan Tan Sri Azam Baki dalam National Financial Crime Consultation Group (NFCC) apabila Dewan Rakyat bersidang semula.

Menurutnya, persoalan mengenai pelantikan serta pengekalan Azam Baki dalam badan berkenaan perlu dijelaskan secara terbuka, termasuk isu-isu yang didakwanya masih belum diperincikan kepada umum.

Beliau berkata, Gerakan Reset akan terus memainkan peranan sebagai blok semak dan imbang dengan membangkitkan isu-isu tadbir urus yang disifatkan memerlukan penjelasan kerajaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast