Calon PH DUN Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin ketika mengunjungi Keraton Mbah Anang.

MUAR – Lokasi bersejarah, Keraton Mbah Anang mempunyai potensi yang sangat besar untuk diangkat sebagai produk pelancongan budaya utama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang kerana keunikan dan nilai estetikanya.

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin berkata, ia merupakan permata tempatan yang mampu menarik pelancong luar untuk datang dan merasai pengalaman kebudayaan secara langsung.

Tambahnya, ia sekali gus dapat merancakkan lagi ekonomi komuniti setempat melalui sektor pelancongan domestik.

“Saya amat berbesar hati kerana berkesempatan memenuhi jemputan daripada komuniti masyarakat Jawa tempatan di Keraton Mbah Anang.

“Sebaik melangkah masuk, keindahan seni bina dan keunikan suasana di sini benar-benar memukau pandangan serta membawa kita menyelami lipatan sejarah yang sangat bernilai,” katanya.

Calon PH DUN Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin ketika mengunjungi Keraton Mbah Anang.

Menurut Ayna Soraya, Keraton Mbah Anang bukan sekadar sebuah replika atau tempat perhimpunan biasa, tetapi merupakan sebuah khazanah sejarah yang sarat dengan identiti, budaya, dan warisan turun-temurun masyarakat Jawa di Sungai Balang.

Ujarnya, setiap sudut tempat itu menceritakan kisah asal-usul, tradisi dan jati diri yang wajib dipelihara untuk generasi akan datang.

“Insya-Allah, komitmen saya adalah untuk memastikan warisan sejarah dan budaya sekaya ini terus diberikan perhatian, dipromosikan dengan lebih meluas, dan dibangunkan secara mampan demi masa depan DUN Sungai Balang yang kaya dengan nilai warisan,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan maklumat di laman sesawang https://keratonmbahanang.com, Karaton Embah Anang merupakan tempat yang ditubuhkan oleh anak-anak keturunan jawa dari Kampung Parit Bugis yang sebahagiannya menetap di daerah yang berbeza dalam negeri Johor.

Penubuhannya bertujuan mengeratkan dan menguatkan silaturahim anak-anak Jawa serta menyuburkan jiwa kemasyarakatan dan seni budaya Jawa yang telah diwariskan oleh para leluhur suku masyarakat itu.

Kebudayaan Jawa telah menjadi sebahagian budaya Malaysia dalam kalangan orang melayu berketurunan Jawa.

Calon PH DUN Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin ketika mengunjungi Keraton Mbah Anang.

Aktiviti hidup bermasyarakat dan seni budaya seperti barongan, kuda kepang, kompang jidur, ludruk, wayang kulit dan yang lain-lain perlu dipelihara agar ia terus mekar dan subur menjadi warisan zaman-berzaman.

Keraton Mbah Anang juga adalah lokasi pejabat Persatuan Jawa Parit Bugis Muar Johor yang mana ia adalah sebuah rumah pusaka yang dibangunkan semula menempatkan seni bina ukiran Jawa. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast