TANGKAK – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyokong dan pengundi sedia ada di Johor belum mencukupi untuk memberikan kemenangan kepada gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Sehubungan itu, beliau yang juga Perdana Menteri menggesa penyokong dan pengundi PH yang berada di luar Johor termasuk di Singapura pulang menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih pada Sabtu ini.
Menurutnya, beliau memahami pada kebiasaannya peratusan keluar mengundi pada PRN adalah rendah disebabkan mereka yang bekerja di luar negeri enggan pulang.
“Kita suruh buat Ahad (PRN), mereka buat hari Sabtu. Kita (nak) buat akhir bulan, sudah dapat gaji, dia buat awal bulan.
“Ini pilihan raya bagi susah orang mengundi. Patut pilihan raya bagi orang senang mengundi. Tapi ini kenyataan,” katanya ketika berucap pada ceramah mega PH di Serom, di sini malam ini.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan, beliau yakin pengundi Johor termasuk yang berada di luar negeri itu mempunyai kesungguhan tinggi untuk membawa perubahan.
“It does not matter. You buat hari Sabtu, you buat hari Ahad, you buat hari Rabu, you buat hari Jumaat.
“Kalau rakyat bangkit, dia boleh buat keputusan. And I’m telling you, it’s time that we make these changes now before it’s too late,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar turut mengingatkan pengundi Johor sekiranya Barisan Nasional (BN) dibenarkan menang PRN kali ini, ia akan melahirkan rasa `megah’ dalam parti itu untuk seterusnya mahu mengawal semula negara ini.
“Kemudian dia (BN) nak atur semua dengan negeri lain, dan dia rasa boleh ambil balik Kerajaan Persekutuan seperti dulu.
“Good luck to Malaysia. If you want to stop it, stop from Johor,” katanya. – MalaysiaGazette
















