Rasid Abu Bakar

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyeru pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya tidak memilih calon yang takut mengisytiharkan harta.

Pengarah Pilihan Raya MUDA, Rasid Abu Bakar berkata, langkah pengisytiharan harta penting dalam mana-mana pilihan raya dan rakyat berhak mengetahuinya.

“Pilihan raya bukan sekadar memilih parti. Ia adalah memilih individu yang akan diberi kuasa mengurus wang rakyat dan membuat keputusan bagi pihak rakyat.

“Sebab itu rakyat berhak mengetahui latar belakang, integriti dan kedudukan kewangan setiap calon sebelum membuat keputusan di peti undi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan MUDA Johor berkata, pengisytiharan harta bukan hukuman kepada calon.

Sebaliknya jelas beliau, merupakan bukti bahawa seseorang calon bersedia dipertanggungjawabkan kepada rakyat sejak hari pertama mereka meminta mandat.

MUDA katanya, sudah menetapkan bahawa semua calon parti diwajibkan membuat pengisytiharan harta sebagai syarat pencalonan.

“Kami percaya ketelusan bukan sesuatu yang boleh dirunding atau ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya,” katanya.

Malangnya dakwa Rasid, masih terdapat parti-parti politik yang gagal mewajibkan calon mereka mengisytiharkan harta kepada rakyat.

Lebih mengecewakan katanya, ada calon yang meminta kepercayaan rakyat tetapi enggan bersikap telus mengenai kedudukan kewangan mereka sendiri.

“Jika seseorang calon tidak berani mengisytiharkan hartanya sebelum diberi kuasa, bagaimana rakyat boleh yakin mereka akan telus selepas diberi kuasa,” soalnya.

Beliau menegaskan, PR Johor adalah peluang untuk rakyat mengangkat standard politik negara dan tidak memberi mandat kepada calon yang takut kepada ketelusan.

“Saya menyeru semua parti politik supaya mewajibkan setiap calon mereka membuat pengisytiharan harta sebelum hari pengundian.

“Rakyat berhak mengetahui siapa yang mereka pilih. Politik yang bersih bermula dengan keberanian untuk bersikap telus,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast