KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyokong penganjuran Festival Peranakan Malaysia 2026 yang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke Taiping bagi menghadiri festival tersebut yang berlangsung dari 3 hingga 5 Julai lalu.
Sokongan ini mencerminkan komitmen KTMB dalam memperkukuh agenda Road to Rail menerusi galakan penggunaan pengangkutan rel sebagai mod perjalanan utama, di samping menyokong usaha mempromosikan pelancongan domestik serta memelihara kepelbagaian warisan dan budaya yang menjadi identiti Malaysia.
Festival Peranakan Malaysia 2026 menghimpunkan komuniti Peranakan dari seluruh negara melalui pelbagai aktiviti yang mengetengahkan sejarah, budaya, seni, warisan, gastronomi serta adat resam masyarakat Baba dan Nyonya.
Katanya, KTMB selaku penyedia pengangkutan memastikan kelancaran operasi perkhidmatan ETS sepanjang perjalanan dari Pulau Sebang ke Taiping serta mengadakan sambutan ringkas kepada para peserta sebaik tiba di Stesen Taiping.
Sambutan itu sebagai tanda penghargaan atas kepercayaan mereka memilih perkhidmatan rel sebagai mod perjalanan ke festival berkenaan.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Afzar Zakariya berkata, pengangkutan rel bukan sekadar menghubungkan destinasi, malah memainkan peranan penting dalam menghubungkan masyarakat, budaya dan warisan negara.
“KTMB percaya rangkaian rel bukan sekadar menghubungkan destinasi, malah turut menghubungkan masyarakat, budaya dan warisan negara.
“Penyertaan rombongan Festival Peranakan Malaysia 2026 menggunakan perkhidmatan ETS membuktikan pengangkutan rel mampu menjadi pilihan yang selesa, selamat dan lestari dalam menyokong pembangunan pelancongan budaya serta agenda Road to Rail,” katanya.
KTMB berkata, keunikan masyarakat Baba dan Nyonya merupakan antara identiti Malaysia yang wajar terus diperkenalkan kepada dunia.
“Kami harap agar lebih ramai pelancong memilih perkhidmatan rel untuk meneroka keindahan negara serta menikmati sendiri kepelbagaian budaya yang menjadi kebanggaan Malaysia selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















