Seorang pembeli menyusun durian dalam guni yang dijual pada harga RM100 di Balok, Pahang.

KUANTAN – Konsep isi sampai boleh durian dalam guni dengan harga RM100 berjaya menarik ramai pengunjung ke sebuah gerai jual durian di Kampung Balok, di sini.

Bukan itu sahaja, pelbagai jenis durian termasuk premium juga boleh didapati di sini dengan harga murah seperti RM10 sebakul, selain RM50 setong durian untuk dijadikan tempoyak.

Menurut peniaga, Muhammad Azril Syazrin Izani, 31, dia mula menawarkan konsep tersebut selepas merasa simpati terhadap pengunjung yang terpaksa berkira-kira untuk membeli durian di gerainya.

Muhammad Azril Syazrin Izani

“Ada pelanggan yang datang tak cukup duit. Jadi, ada pilihan untuk durian RM10 sekilogram. Saya nak orang (pelanggan) boleh makan sepuas-puasnya di sini.

“Tahun ni, saya berniat nak beri semua orang makan. Kalau nak kira untung, memang tiada untung sangat. Tapi saya nak beri semua orang merasa,” katanya ketika ditemui.

Dia yang berasal dari Johor memberitahu mula membuka tawaran itu sejak 11 Jun lepas dan menerima sambutan yang amat memberangsangkan.

Katanya, longgokan durian yang ditawarkan itu meliputi semua jenis durian termasuk D24, IOI, Durian Hitam dan tak ketinggalan Musang King.

“Kalau pelanggan yang mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU), saya akan beri dua biji Musang King percuma dan ibu mengandung pula sebiji. Itu yang termampu saya buat setakat ini,” jelasnya.

Salah seorang pengunjung yang ditemui, Nurul Syakila Mt Hisa, 34 berkata, dia tertarik dengan tawaran pembelian RM100 seguni itu dan singgah membeli  kerana anak-anaknya gemar makan durian.

Nurul Syakila Mt Hisa menyusun durian dalam guni yang diangkat suaminya

“Saya dari Kemaman, Terengganu kebetulan balik rumah mak di sini. Memang tertarik dengan harga tu. Alang-alang singgah beli untuk makan ramai-ramai.

“Tak tahu lah ada berapa biji durian ni. Banyak ni,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Mohd Hery Zakaria, 39 berkata, dia berjaya memasukkan 23 buah durian ke dalam guninya yang dibeli pada harga RM100.

Mohd Hery Zakaria

Katanya, durian itu akan dibawa pulang ke pejabat di Gebeng, di sini untuk dinikmati bersama rakan-rakan sekerja seramai lima orang.

“Pertama kali beli durian di sini. Konsep ni bagus, sebab murah dan berbaloi. Kalau ada ahli keluarga ramai, mesti lagi seronok sebab boleh dapat banyak durian,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast