KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui agensi-agensinya telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM25.27 billion kepada 847,653 usahawan dan koperasi seluruh negara sejak tahun 2024 hingga 31 Mei lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, pembiayaan yang disediakan telah membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan koperasi meningkatkan modal pusingan, mengembangkan kapasiti perniagaan, menambah baik premis dan peralatan perniagaan.
Menurut beliau, keberkesanan skim pembiayaan kepada usahawan dan koperasi itu dinilai melalui prestasi pembayaran balik pembiayaan oleh usahawan.
“KUSKOP tidak menetapkan purata non performing financing (hutang yang tidak berbayar-NPF) secara keseluruhan bagi semua agensi pembiayaan. Prestasi NPF ini diukur dan dilaporkan secara berasingan oleh setiap agensi berdasarkan pembiayaan masing-masing.
“Secara umumnya, terdapat agensi yang menetapkan sasaran purata NPF di bawah 10 peratus.
“Sehingga Mei 2026, TEKUN Nasional merekodkan kadar purata NPF sebanyak 9.69 peratus manakala SME Bank dan Bank Rakyat masing-masing merekodkan kadar purata NPF sebanyak 10.49 peratus dan 1.93 peratus.
“Kadar NPF bagi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah sebanyak 0.01 peratus,” katanya pada Sesi Pemberitahuan Pertanyaan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang bertanya keberkesanan skim pembiayaan di bawah agensi KUSKOP dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berkembang serta jumlah usahawan yang berjaya meningkatkan hasil perniagaan sejak tahun 2024.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, prestasi bayaran balik yang baik mencerminkan keupayaan usahawan menjana pendapatan secara konsisten di samping pengurusan aliran tunai perniagaan yang berkesan serta keupayaan PKS mengekalkan kelangsungan operasi perniagaan.
Katanya, ini menunjukkan pembiayaan yang disalurkan bukan sahaja membantu memenuhi keperluan modal perniagaan, malah turut menyumbang kepada daya tahan dan kelestarian perniagaan usahawan dalam jangka panjang.
Selain itu kata beliau, pembiayaan yang ditawarkan melalui pembiayaan alternatif secara peer-to-peer (P2P) seperti yang ditawarkan oleh SME Corp.
“Malaysia turut berkesan dalam menyediakan pilihan akses pembiayaan alternatif kepada PMKS berbanding kemudahan pembiayaan konvensional.
“Inisiatif pembiayaan alternatif ini menawarkan kemudahan pembiayaan yang lebih pantas, fleksibel dan tanpa cagaran atau cagaran yang minimum melalui platform digital, khususnya kepada PMKS yang sukar atau tidak layak memperoleh pinjaman daripada institusi kewangan konvensional.
“Inisiatif ini dilaksanakan melalui Perantara Kewangan yang berlesen daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.
Beliau turut memberitahu, bagi tempoh Januari sehingga Mei 2026, 39 PKS telah diluluskan pembiayaan sebanyak RM18.5 juta dengan tempoh kelulusan tujuh hari atau kurang selepas dokumen lengkap diterima berbanding 21 hari sebelumnya. – MalaysiaGazette
















