Ahmad Abu Bakar

ALOR GAJAH – Seorang pemain bola sepak maut dipercayai disambar petir manakala pengadil cedera dan seorang lagi terselamat ketika perlawanan persahabatan di Padang Kompleks Rakan Muda Lendu, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu, mangsa, R Thanesh, 28, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Alor Gajah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Hospital Alor Gajah pada pukul 8.50 malam memaklumkan seorang lelaki dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai disambar petir.

“Siasatan awal mendapati mangsa menyertai perlawanan persahabatan antara Rembau Indian Veteran FC dan Tanjung Minyak FC yang bermula kira-kira pukul 5.30 petang.

“Kira-kira 10 minit selepas sepak mula, hujan renyai-renyai sebelum kedengaran satu dentuman guruh sebelum rakannya melihat si mati dan dua orang lagi dilihat rebah di padang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah menggunakan kenderaan awam dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala pengadil perlawanan dihantar ke hospital menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan.

“Seorang lagi individu yang turut terjejas dilaporkan berada dalam keadaan baik dan tidak mendapatkan rawatan.

“Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa mendapati tiada unsur jenayah, namun terdapat kesan terbakar pada jari kaki sehingga paras paha kaki sebelah kiri.

“Mangsa turut mengalami kesan melecur pada bahagian bawah perut sebelah kiri, selain terdapat kesan kehitaman di belakang badan hingga paras punggung dan telinga kanan berdarah,” katanya.

Ahmad berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat yang dijadualkan dijalankan pagi ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Polis telah membuka kertas siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast