Individu yang ditahan dalam Operasi Cegah AADK - Foto: Facebook AADK Kuala Muda

KUALA LUMPUR – Seramai 13 individu ditahan dalam Operasi Cegah 15/2026 yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda di Kedah susulan aduan awam berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah itu.

Menurut AADK Daerah Kuala Muda, semua individu yang ditahan dibawa ke pejabat agensi itu untuk tindakan lanjut dan menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil saringan mendapati seramai 12 individu positif dadah jenis methamphetamine dan morfin manakala seorang lagi didapati negatif dadah walaupun pernah ditahan sebelum ini.

“Daripada 12 individu yang positif itu terdapat sepasang adik-beradik yang turut mempunyai masalah kesihatan mental,” menurut kenyataan hari ini.

AADK memaklumkan, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap setiap aduan yang diterima daripada masyarakat kerana isu penyalahgunaan dadah memerlukan tindakan berterusan.

Menurut kenyataan itu, aduan berkaitan penyalahgunaan dadah yang diterima oleh AADK Kuala Muda tidak pernah putus dan memerlukan pemantauan serta intervensi secara konsisten.

Jelasnya, masalah penyalahgunaan dadah bukan isu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat sebaliknya memerlukan proses pemulihan yang berterusan serta keazaman individu untuk berubah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast