DrvRuben terpaksa membatalkan keseluruhan jadual kempennya hari ini selepas mengalami sakit tulang belakang akibat masalah 'slip disc' berulang.

PALOH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Dr Ruban Arumugam terpaksa membatalkan semua program kempen hari ini kerana mengalami sakit cakera tergelincir (slip disc).

Sepatutnya jadual awal Dr Ruban menetapkannya berkempen di Kampung Gajah, Kampung Sri Tambak dan meninjau pusat pengundian awal di sini.

Dr Ruban berkata, keputusan itu dibuat dengan berat hati selepas mengalami kesakitan sebaik sahaja bangun tidur pada pagi tadi.

“Saya syak bahawa sakit slip disc saya kembali semula. Ini semua gara-gara jadual kempen yang sangat padat, dipenuhi dengan walkabout dan pelbagai program yang berlangsung tanpa henti sejak minggu lepas hari pertama lagi.

“Ini bukan mengungkit, saya risau nanti orang tanya, ‘mana calon kita?’ bila mana mereka tidak nampak saya mengedar flyer atau di kopitiam untuk berkempen.

“Dengan hati yang berat, saya terpaksa membatalkan semua program saya pada pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga turut memohon maaf kepada pasukan jentera serta semua warga yang sudah meluangkan masa untuk bertemunya.

Menurutnya, selepas mendapatkan nasihat doktor, beliau diminta untuk berehat seketika supaya keadaan tidak menjadi lebih serius.

“Saya harap dapat kembali pulih secepat mungkin. Walaupun sudah selesaikan walkabout di banyak taman dan lokasi, saya masih nak pusing-pusing untuk kali kedua dan ketiga. Masih ramai yang ingin saya temui dan santuni sebelum hari pengundian.

“Terima kasih atas setiap doa, mesej dan kata-kata semangat yang diberikan. Sokongan anda benar-benar memberikan kekuatan kepada saya,” katanya.

DUN Paloh menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Ruban, penyandang, Lee Ting Han daripada Barisan Nasional (BN), G Kamaleswaran (Bebas) dan D Jeevakumar (Perikatan Nasional). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast