Anggota polis tidak melepaskan peluang walaupun hujan lebat bagi membuang undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di IPK Johor, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 07 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Proses pengundian awal di Dewan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) No 2, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini tidak terjejas walaupun hujan lebat bermula 9.40 pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, anggota dan pegawai masih terus mengundi dan proses berjalan lancar.

Mereka menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat pengundian awal tersebut dilihat masih kekal beratur di bawah khemah yang disediakan bagi menunggu giliran mengundi.

Malah ada pegawai dan anggota yang terpaksa meredah hujan untuk ke saluran masing-masing.

Di pusat pengundian awal itu, seramai 1,338 pegawai dan anggota akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, termasuk Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.

Untuk rekod, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menyaksikan persaingan sengit membabitkan 172 calon yang merebut 56 DUN Johor.

Tempoh berkempen bagi pilihan raya negeri kali ini berbaki tiga hari lagi sebelum 2.7 juta pengundi keluar mengundi Sabtu ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast