Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa pengusaha stesen minyak menanggung kerugian semasa peralihan pelaksanaan penambahbaikan subsidi bahan api sebelum ini akan disiasat dan diteliti untuk mendapat maklumat lanjut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia mengadakan perbincangan dengan syarikat minyak itu selain menghargai kerjasama syarikat dan stesen minyak dalam menjayakan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dan diesel.

“Merujuk kepada permasalahan yang dibangkitkan, saya akan minta Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) membantu mendapatkan keterangan lanjut dan juga berunding dengan syarikat minyak.

“Setakat ini, mereka memberi kerjasama penuh, kalau tidak, tidak mungkin kita dapat melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan diesel dengan berkesan.

“Kalau ada sedikit ketempangan yang dibangkitkan, kita boleh berunding untuk mencari penyelesaian yang baik,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) yang membangkitkan isu pengusaha stesen minyak didakwa menanggung kerugian antara RM40,000 hingga RM50,000 ketika peralihan harga bahan api bersubsidi.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, kerajaan memerlukan penelitian sebelum sebarang dasar baharu dilaksanakan sebelum melaksanakan penambahbaikan subsidi diesel kerana perlu mengambil kira keadaan di Sabah dan Sarawak yang lebih kompleks berbanding Semenanjung.

Beliau berkata, ia kerana pelbagai faktor perlu diambil kira seperti penggunaan diesel yang lebih tinggi, faktor jarak di kawasan pedalaman serta bilangan stesen minyak yang lebih terhad di sana.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, penambahbaikan program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang membolehkan pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip memohon tambahan kuota subsidi sebanyak 100 liter telah menjadikan jumlah kelayakan keseluruhan kepada 300 liter sebulan.

Beliau berkata hingga semalam, kira-kira 200,000 permohonan tambahan kuota tersebut daripada warganegara telah diluluskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast