Sungai Muar yang melimpah setiap kali hujan lebat antara punca banjir di beberapa kawasan di Bukit Gambir.

BUKIT GAMBIR – Masalah banjir; tiada lampu jalan; capaian internet yang lemah dan jalan raya tidak sempurna.

Itu adalah antara masalah yang paling banyak dibangkitkan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, sekali gus berharap dapat diselesaikan segera.

Bagi penduduk di Parit Bengkok, Gersik di sini, trauma yang dialami mereka akibat kejadian banjir besar pada 2022 dan 2024 masih lagi terasa sehingga kini.

Bahkan setiap kali hujan lebat dalam tempoh hanya beberapa jam, kawasan itu akan mula dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Muar.

Seorang penduduk, Mohd Adnan Hashim, 40-an berkata, dia berharap pihak berwajib dapat mencari jalan penyelesaian bagi masalah banjir itu supaya dipastikan tidak terus berulang setiap kali hujan lebat.

“Mungkin sungai dapat diperdalamkan lagi supaya limpahan air tidak berlaku terlalu banyak dan cepat, jadi penduduk masih sempat untuk menyelamatkan diri dan harta benda sekiranya hujan lebat berterusan.

“Atau mungkin juga dapat dibina batas-batas yang lebih tinggi di sepanjang sungai bagi mengelak air melimpah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ketiadaan lampu jalan khususnya di laluan kampung bersebelahan ladang-ladang sawit mengundang risiko kepada penduduk DUN Gambir terutama pada waktu malam.

Tambah, Mohd Adnan, kejadian banjir bukan sahaja menyebabkan harta benda mereka rosak, malah tanaman penduduk seperti pokok pisang juga musnah menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian berlipat kali ganda.

Sementara itu, bagi seorang penduduk, Syukri Alias, 30-an, dia berharap kualiti jalan di sekitar kawasan itu khususnya di jalan-jalan kampung dan kawasan pedalaman dapat dinaik taraf.

Menurutnya, kebanyakan jalan di kawasan itu seolah-olah tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib apabila dibiarkan rosak atau mengambil masa lama untuk dibaiki.

“Jalan-jalan ini sebenarnya merupakan laluan utama penduduk sama ada menggunakan motosikal atau kereta, jika kerosakan tidak dibaiki ia meningkatkan risiko kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, calon Pakatan Harapan (PH) DUN Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof mengakui isu-isu antara yang banyak dibangitkan kepada beliau sewaktu turun padang bertemu penduduk sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.

Calon Pakatan Harapan N.09 Bukit Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof bercakap kepada media selepas menyantuni masyarakat cina sambil mengedarkan flyer manifesto sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 ketika di Pekan Bukit Gambir, Muar. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2026.

“Saya mengambil maklum isu-isu yang dibangkitkan penduduk ini dan kita akan memanjangkan kepada pihak-pihak berwajib serta ke pusat khidmat Ahli Parlimen Ledang supaya tindakan segera penyelesaian segera dapat diambil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast