Datuk Norshida Ibrahim

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) didakwa memainkan taktik lama dengan naratif hasutan, persepsi negatif dan fitnah bagi meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim berkata, serangan itu dilakukan selepas tiada modal dan fakta tidak lagi memihak kepada mereka.

“Maka fitnah dijadikan senjata, manakala kebencian dijadikan modal politik. Hakikatnya, rakyat Johor hari ini jauh lebih matang dalam menilai.

“Mereka bukan lagi mudah dipengaruhi dengan dakwaan yang sengaja direka atau diputarbelitkan semata-mata untuk menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Katanya, pelaburan terus meningkat, peluang pekerjaan diwujudkan, pembangunan infrastruktur dipercepatkan, bantuan kepada rakyat diperkasakan dan pelan pembangunan jangka panjang terus digerakkan.

“Inilah yang sepatutnya menjadi ukuran rakyat hasil kerja, bukan cerita yang direka. Sebaliknya, pembangkang dilihat lebih gemar mencipta persepsi negatif berbanding menawarkan penyelesaian yang realistik,” katanya.

Menurutnya, setiap kejayaan cuba diperkecilkan, setiap usaha dipolitikkan, dan setiap kelemahan dijadikan bahan untuk menghasut emosi rakyat.

“Budaya politik sebegini bukan sahaja tidak sihat malah merugikan negeri,” katanya.

Kata beliau, Johor memerlukan kestabilan politik untuk terus menarik pelaburan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan.

“Kita menghormati perbezaan pandangan dalam sebuah negara demokrasi. Namun, perbezaan tersebut mestilah berasaskan fakta, dasar dan idea, bukannya fitnah atau serangan peribadi yang hanya mengundang perpecahan.

“Rakyat Johor berhak mendapat kempen yang matang, berintegriti dan berfakta. Mereka mahu mendengar apakah perancangan untuk masa depan negeri, bukannya menyaksikan pertandingan siapa yang paling pandai mencipta persepsi,” katanya.

Tambah beliau, pada akhirnya, pilihan berada pada tangan rakyat untuk memilih kepimpinan yang bekerja, bukan sekadar pandai bercakap.

Johor katanya, memerlukan politik yang membina, bukan politik yang membakar kebencian kerana masa depan Bangsa Johor tidak boleh dipertaruhkan dengan fitnah dan permainan persepsi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast