Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan

JOHOR BAHRU – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik dan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengadakan dialog menjelaskan mengapa janji Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya terdahulu masih tidak ditunaikan.

Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP Malaysia), Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, penjelasan wajar diberikan sebelum PH menawarkan janji baharu agar rakyat faham dan tahu sebab tidak menunaikan janji.

“Jutaan rakyat telah memberikan undi mereka berdasarkan janji-janji tersebut, namun akhirnya ramai yang berasa kecewa apabila pelbagai komitmen sama ada ditinggalkan, ditangguhkan atau tidak dilaksanakan sepenuhnya tanpa penjelasan yang memuaskan.

“Sekiranya Maszlee benar-benar prihatin terhadap rakyat dan ikhlas mahu mewakili pengundi di Puteri Wangsa, perkara pertama perlu beliau lakukan ialah mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberikan penjelasan mengapa PH gagal menunaikan komitmen yang telah dijanjikan, khususnya kepada masyarakat India.

“Sebelum memohon mandat baharu daripada rakyat, mereka terlebih dahulu perlu bertanggungjawab terhadap mandat yang pernah diberikan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara janji yang masih menuntut penjelasan ialah komitmen PH untuk menyelesaikan isu masyarakat India tanpa kerakyatan dalam tempoh 100 hari selepas membentuk kerajaan.

Walaupun terdapat beberapa kes yang berjaya diselesaikan, beliau berkata, isu tersebut tidak dapat ditangani secara menyeluruh dalam tempoh yang dijanjikan.

PH juga katanya, berjanji untuk menubuhkan Dana Pembangunan Masyarakat India bernilai RM4 bilion bagi tempoh 10 tahun, namun dana tersebut tidak pernah diwujudkan sepenuhnya seperti dijanjikan dalam manifesto.

Menurutnya, PH turut berjanji memastikan 10 peratus daripada pengambilan baharu di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), agensi Persekutuan, pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan terdiri daripada masyarakat India.

Namun katanya, tiada pelaksanaan secara menyeluruh di peringkat nasional yang membuktikan sasaran tersebut sudah dicapai.

“Mereka juga berjanji meningkatkan pengambilan pelajar India ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di samping memperluaskan kemudahan asrama. Walaupun terdapat beberapa penambahbaikan, perubahan struktur yang dijanjikan tidak dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Selain itu kata Loga, PH berjanji memperkukuhkan peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk belia India serta melaksanakan program khusus bagi menangani penyalahgunaan dadah, kegiatan gengsterisme dan pelbagai masalah sosial yang melibatkan belia India.

Katanya, walaupun program sedia ada diteruskan, banyak pertubuhan masyarakat berpendapat bahawa inisiatif menyeluruh yang dijanjikan dalam manifesto tidak pernah direalisasikan.

“Keadaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil juga terus menjadi kebimbangan. Walaupun beberapa peruntukan telah diumumkan, banyak sekolah Tamil masih berdepan masalah bangunan usang, kesesakan pelajar, kemudahan yang tidak mencukupi serta isu pemindahan sekolah yang telah berlarutan sekian lama.

“Janji untuk memindahkan sekolah-sekolah Tamil ke kawasan yang mempunyai pertumbuhan penduduk India yang lebih tinggi juga masih belum diselesaikan, menyebabkan banyak sekolah terus beroperasi di kawasan bekas estet yang jumlah pelajarnya semakin berkurangan,” dakwanya.

Begitu juga dengan komitmen lebih luas untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India yang tidak berjaya direalisasikan sepenuhnya sebelum pentadbiran PH berakhir pada 2020, katanya.

Tegas beliau, Maszlee juga perlu menjelaskan rekod beliau sendiri ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beberapa reformasi besar dalam bidang pendidikan diumumkan, termasuk pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), pelaksanaan Program Sarapan Percuma di sekolah rendah seluruh negara, usaha mengurangkan beban beg sekolah yang berat, pemberian autonomi yang lebih besar kepada sekolah, reformasi pendidikan secara menyeluruh serta penambahbaikan kemudahan internet dan infrastruktur digital di sekolah.

“Namun begitu, sebahagian besar inisiatif tersebut masih belum berjaya direalisasikan ketika beliau meninggalkan kementerian. Rakyat Malaysia berhak mengetahui mengapa reformasi-reformasi tersebut gagal dilaksanakan sepenuhnya,” ujarnya.

Rakyat Puteri Wangsa katanya, sama seperti seluruh rakyat Malaysia, berhak mengetahui mengapa semua janji tersebut gagal ditunaikan.

Jelasnya, akauntabiliti merupakan prinsip asas dalam sebuah pentadbiran yang bertanggungjawab.

“Sebelum meminta rakyat sekali lagi mempercayai janji-janji baharu, Maszlee terlebih dahulu perlu memberikan penjelasan yang jujur mengenai prestasi beliau sendiri serta rekod PH ketika mentadbir negara.

“Rakyat mahukan ketelusan, akauntabiliti dan keikhlasan, bukannya satu lagi pusingan janji yang akhirnya tidak disertai dengan penjelasan dan pelaksanaan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast