KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah dengan penahanan enam suspek serta merampas 161.49 gram syabu bernilai kira-kira RM16,000 menerusi beberapa serbuan di sekitar daerah Kudat, Sabah.
Operasi khas yang dijalankan bermula pukul 7 malam semalam hingga 4.45 pagi tadi itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di beberapa lokasi.
Ia termasuk Kampung Tanjong Kapor, Kampung Landung Ayang, Kampung Perpaduan, Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ehsan dan Kampung Muhibbah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim, hasil operasi berjaya menahan enam individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
“Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas 161.49 gram dadah disyaki jenis syabu yang ditemukan dalam milikan suspek. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM16,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Semua suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.– MalaysiaGazette
















