Anggota Pasukan Polis Marin menunjukkan jari yang berdakwat selepas menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 07 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 bagi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjalan lancar hari ini mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 95.42 peratus sehingga pukul 5 petang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, peratusan itu membabitkan seramai 11,511 pengundi daripada keseluruhan 12,706 pegawai, anggota polis dan pasangan yang berdaftar sebagai pengundi awal dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Secara keseluruhannya, proses pengundian awal yang membabitkan 64 Pusat Mengundi Awal (PMA) di seluruh negeri Johor merangkumi 53 PMA PDRM dan 11 PMA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berlangsung dengan teratur dan terkawal tanpa sebarang insiden keselamatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad menunjukkan jari yang berdakwat selepas membuang undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di IPK Johor, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 07 JULAI 2026.

“Sementara itu, seramai 643 warga PDRM menunaikan hak mengundi secara pos. Proses undi pos ini telah bermula sejak 30 Jun lalu dan kertas undi pos akan diterima semula sebelum pukul 5 petang pada Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan.

Proses pengundian awal bagi PRN Johor kali ini membabitkan 20,607 pemilih merangkumi 8,544 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 12,063 anggota PDRM serta Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama pasangan masing-masing.

PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast