Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenalkan Program Pengakuan Sukarela e-Invois sehingga 31 Disember in sebagai ikhtiar tambahan bagi mengurangkan kos pematuhan perniagaan khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sepanjang tempoh itu, sebarang kemas kini, semakan dan pembetulan yang dikemukakan secara sukarela tidak akan dikenakan penalti oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

“Ini satu keputusan yang selalunya tidak berlaku sedemikian bagi cukai pendapatan,” kata beliau pada  Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai sama ada Kerajaan MADANI peka kepada cabaran yang dihadapi sektor perniagaan, khususnya usahawan PMKS dalam menghadapi senario global semasa dan langkah kerajaan untuk menyokong kelangsungan PMKS.

Anwar yang Menteri Kewangan menambah, kerajaan turut bersetuju mempercepat insentif cukai dengan membenarkan tuntutan penuh elaun modal dalam tempoh setahun bagi perbelanjaan layak berkaitan pelaksanaan e-Invois.

“Langkah itu adalah sebagai tanda penghargaan dan galakan kepada pembayar cukai untuk mematuhi sepenuhnya pelaksanaan e-Invois,” kata beliau.

Menurut Anwar, pada Disember 2025, kerajaan telah menaikkan nilai ambang pendapatan bagi pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta, yang memanfaatkan lebih sejuta pembayar cukai.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast