Hassan Rasid.

KOTA TINGGI – Keputusan kembali menyertai UMNO bukanlah didorong oleh rasa dendam atau niat untuk membuka pekung parti lamanya, Bersatu, kata Hassan Rasid.

Bekas calon Bersatu pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 lalu itu mengakui kemasukannya ke UMNO adalah kehendak sendiri bukan kerana mhu memburukkan parti lamanya.

Menurutnya yang pernah menerajui Bersatu Bahagian Tenggara kehadirannya kembali adalah untuk memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) yang merupakan sahabatnya.

“Fokus utama saya adalah bagi memastikan kemenangan Dr Mohd Naqib Shahrudin. Beliau seorang sahabat dan anak jati tempatan yang berwibawa.

“Tiada keperluan untuk saya memburuk-burukkan mana-mana pihak malah hubungan dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) masih berjalan dengan baik seperti biasa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hassan menunjukkan surat permohonan untuk kembali kepada UMNO sderta keratan akhbar berkaitan pembubaran Bersatu di Tenggara pada tahun 2024.

Jelasnya, keputusan kembali ke Rumah Bangsa dilakukan kerana hatinya sentiasa bersama UMNO selepas dua tahun ‘berehat’ daripada politik.

“Ini adalah kempen yang sihat. Hubungan saya dengan rakan-rakan dalam Bersatu atau PN tiada masalah, kami masih boleh berjumpa dan berbual.

“Saya masuk bukan kerana dendam malah baru-baru ini pembantu peribadi kepada calon PN yang bertanding, Elias Razman ada datang berjumpa saya untuk meminta bantuan.

“Walaupun saya tidak dapat membantu secara serius kerana komitmen bersama BN, saya tetap mencadangkan rakan-rakan seperjuangan sebelum ini untuk membantu mereka,” katanya.

Mengulas mengenai faktor yang menggerakkan hatinya untuk kembali aktif dan bukan atas faktor kempen pilihan raya, Hassan mengakui kehadiran Dr Naqib sebagai calon nombor satu di Panti menjadi antara pendorong utama.

“Saya yakin dengan profil Dr Naqib sebagai pemimpin muda dan anak tempatan, calon BN itu mampu meraih majoriti yang lebih besar berbanding angka yang pernah diperolehnya ketika bertanding dalam pilihan raya lalu.

“Dr Naqib adalah sahabat saya sendiri dan beliau merupakan calon terbaik yang dipilih oleh kepimpinan tertinggi. Panti ini tidak besar, kita semua saling mengenali dan berkawan. Jadi, saya mahu bersama-sama membantu kemenangan beliau,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Hassan berkata, proses kemasukan semulanya ke dalam UMNO perlu melalui prosedur rasmi dengan menghantar surat terus kepada Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memandangkan statusnya sebelum ini adalah dipecat bukan keluar secara sukarela.

Untuk rekod, Hassan telah dipecat dari UMNO pada 2015 selepas didapati bersalah kerana mengikut Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum itu dipecat daripada parti.

Menariknya, tindakan Hassan itu turut mencetuskan gelombang positif apabila ramai rakan lamanya dan penyokong menyatakan hasrat untuk mengikut jejak langkahnya.

Hassan turut membayangkan dengan sokongan lebih 30 pengikut setianya setakat ini, sebuah cawangan baharu UMNO di dalam Parlimen Tenggara bakal ditubuhkan dalam masa terdekat.

“Selepas berita mengenai kepulangan saya tular, ramai kawan-kawan menyatakan hasrat untuk bersama-sama membantu.

“Saya rasa amat gembira malah ada rasa sayu apabila dapat bertemu semula dengan sahabat-sahabat lama yang berusia 60-dan 70-an.

“Sepanjang saya berada dalam Bersatu dahulu pun, hubungan dengan rakan-rakan UMNO tetap ramah dan tiada istilah musuh.

“Kami boleh duduk satu meja berbincang mengenai politik. Suasana harmoni inilah yang membuatkan saya berasa sangat selesa untuk kembali berbakti bersama UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast