Projek ladang ternakan ayam di Kampung Sengkang, Bukti Gambir, Johor yang terletak terlalu hampir dengan penempatan penduduk.

BUKIT GAMBIR – Lebih 5,000 penduduk dari 10 buah kampung di kawasan ini hidup dalam tekanan selepas terpaksa menghidu bau busuk najis ayam setiap hari dari operasi ladang ternakan ayam di Batu 19, Kampung Melayu Sengkang di sini.

Bukan itu sahaja, mereka juga terpaksa berdepan masalah lalat yang terlalu banyak yang mengundang rasa tidak selesa serta mengganggu rutin kehidupan seharian.

Situasi itu sudah berlanjutan sejak lebih dua tahun lalu tanpa penyelesaian meskipun pelbagai aduan sudah dibuat penduduk kepada pihak berwajib sama ada di peringkat negeri atau agensi Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Sengkang, Abdul Ghani Othman berkata, banyak keraguan timbul berhubung projek ladang ternakan ayam itu antaranya bagaimana ia dibenarkan beroperasi dalam jarak kira-kira 500 meter dari rumah penduduk.

Abdul Ghani Othman

Selain itu, ujarnya, projek ternakan ayam berskala besar seluas puluhan ekar tersebut turut menimbulkan persoalan berkenaan bagaimana ia boleh diluluskan dan dibenarkan beroperasi berdekatan kawasan penduduk.

Ujarnya, operasi ladang ternakan itu juga menimbulkan tanda tanya dari segi pengurusan najis dan sisa sama ada dilakukan mengikut prosedur dibenarkan pihak berkuasa berkaitan khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS); Jabatan Veterinar atau pihak kesihatan.

“Selain masalah bau busuk dan lalat yang terlalu banyak, penduduk juga berdepan masalah sistem perparitan yang tercemar di kawasan itu.

“Situasi ini mengundang risiko penyakit kepada penduduk setempat serta menyekat rezeki mereka kerana ada yang menggunakan air itu bagi tujuan pertanian,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Abdul Ghani, pihaknya juga sudah melantik peguam supaya masalah itu dapat diselesaikan mengikut saluran perundangan sekiranya terus berlanjutan tanpa tindakan daripada agensi kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

Kehadiran lalat yang terlalu banyak mengundang rasa tidak selesa kepada penduduk.

“Kita jugaa merancang memohon mengadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail supaya baginda dapat membantu penduduk di sini yang semakin hari semakin tertekan dengan masalah bau busuk dan lalat ini,” katanya.

Sementara itu, bagi Ahli Jawatankuasa Bertindak Kampung Sengkang, Raja Mohd Aidil Raha Sulaiman, dia melahirkan rasa bimbang operasi ternakan ayam itu boleh menyebabkan ancaman kesihatan lebih besar kepada penduduk pada masa depan.

Menurutnya, negara sebelum ini pernah dikejutkan dengan wabak selesema burung atau penyakit daripada ternakan ayam yang boleh membawa maut terutama kepada mereka yang berisiko tinggi.

Raja Mohd Aidil Raha Sulaiman

“Ketika ini pun ramai penduduk mengadu mengalami masalah kesihatan terutama kegatalan kulit mungkin disebabkan pencemaran yang dibawa daripada projek ternakan ayam ini.

“Kita bimbang keadaan ini menjadi lebih parah memandangkan masalah ini turut menjejaskan kawasan-kawasan sekolah selain ramai warga emas yang tinggal di kampung-kampung ini turut terdedah,” katanya.

Sementara itu, pengusaha restoran, Mohd Salleh Ismail berkata, premis perniagaannya yang terletak kira-kira 500 meter dari ladang itu kini terjejas teruk ekoran serangan lalat yang terlalu banyak sehingga menyebabkan pelanggan lari.

Mohd Salleh Ismail

“Siapa yang mahu singgah di restoran kami apabila lalat terlalu banyak selain terpaksa menghidu bau busuk najis ayam sepanjang masa?

“Bukan saya sahaja, semua pengusaha kedai makan dan restoran di sini juga terpaksa menanggung kerugian disebabkan ketiadaan pelanggan ekoran masalah ini,” katanya.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) DUN Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof yang turut meninjau masalah itu mengakui kerap menerima aduan berkenaan masalah lalat terlalu banyak dan bau najis yang kurang menyenangkan daripada penduduk.

Malah, katanya, masalah itu turut mengganggu penduduk sehingga ke pekan Bukit Gambir yang terletak lebih lima kilometer dari kawasan projek ladang ternakan ayam tersebut.

“Saya mengambil maklum keresahan penduduk ini dan akan membantu mereka memanjangkan isu ini kepada pihal-pihak berwajib khususnya kepada Pusat Khidmat Parlimen Ledang.

“Keutamaan kita sekarang adalah membantu penduduk supaya masalah ini dapat diselesaikan segera dan mereka tidak perlu lagi hidup dalam suasana yang tidak selesa serta berisiko terhadap kesihatan seperti ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Calon PH DUN Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof mendengar keluhan penduduk.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast