MELAKA – Kajian semula persempadanan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih wajar diberi keutamaan berbanding cadangan mewujudkan ADUN lantikan bagi memastikan sistem demokrasi di negeri ini lebih adil dan seimbang.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka Hakimin Mokhtar berkata, isu sebenar yang perlu ditangani bukan kekurangan wakil “pakar” dalam Dewan, sebaliknya ketidakseimbangan bilangan pengundi antara kawasan DUN yang didakwanya semakin ketara.
Menurut beliau, jurang jumlah pengundi antara sesetengah kawasan terlalu besar sehingga menyebabkan nilai setiap undi tidak lagi seimbang.
“Sebagai contoh, DUN Kesidang mempunyai lebih 54,000 pengundi berbanding DUN Taboh Naning yang kurang daripada 12,000 pengundi menjadikan perbezaan lebih empat kali ganda.
“Keadaan ini menyebabkan setiap kerusi ADUN mewakili bilangan rakyat yang tidak seimbang dan suara pengundi di kawasan padat penduduk menjadi kurang berpengaruh berbanding kawasan yang pengundinya lebih kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hakimin berkata, Melaka yang ketika ini mempunyai 28 kerusi DUN turut berdepan risiko kebuntuan politik sekiranya keputusan pilihan raya menyaksikan sokongan kerusi yang sama banyak antara dua blok utama.
“Keadaan ini seterusnya boleh menyukarkan pembentukan kerajaan negeri yang stabil.
“Justeru AMK Melaka mencadangkan supaya satu hingga tiga kerusi DUN baharu diwujudkan menerusi kajian semula persempadanan pilihan raya berbanding memperkenalkan mekanisme ADUN lantikan,” katanya.
Menurutnya, langkah berkenaan bukan sahaja dapat memastikan setiap kerusi mewakili jumlah rakyat yang lebih seimbang, malah mengurangkan risiko kebuntuan politik akibat bilangan kerusi DUN yang genap.
“Pada masa sama, lebih ramai rakyat Melaka akan mendapat wakilan yang lebih adil selaras dengan pertumbuhan penduduk,” katanya.
Beliau berkata, reformasi institusi seharusnya berpaksikan kepentingan rakyat dan bukannya memperluaskan kuasa eksekutif melalui pelantikan wakil yang tidak dipilih secara langsung oleh pengundi. – MalaysiaGazette
















