Asyraf dalam Program Himpunan Usahawan Negeri Johor di Persada Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Fenomena ‘Onn Tak Onn’ yang dilihat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 adalah bukti penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, fenomena itu juga menunjukkan isyarat rakyat sudah mengenali figura berkenaan dan calon Barisan Nasional (BN) bukan hanya muncul dengan janji-janji ketika berkempen.

“Pergilah mana-mana pun fenomena ‘Onn Tak Onn’ ini sebenarnya fenomena yang real. Maknanya, orang tahu bahawa Menteri Besar dengan barisan Exco yang rata-ratanya dua pertiga adalah di bawah 45 tahun.

“Semangat kerjanya luar biasa kerana mereka menyantuni rakyat. Jadi, mereka bukan hari ini baharu datang masa kempen baharu nak turun baharu nak menabur janji, tak.

“Kempen kita mudah. Jangan janji, lihat bukti. Itu yang paling utama sekali,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan program Himpunan Usahawan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada penyertaan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) UMNO pada PRN Johor kali ini akan memberi kesan undian rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata, beliau yakin dengan BN Johor yang dilihat mempunyai kekuatan tersendiri.

“Rakyat Johor ini sebenarnya mereka sudah lama dengan BN dan mereka pernah cuba untuk dapatkan rasa macam mana jika kerajaan di bawah parti lain dan akhirnya mereka kembali kepada BN pada 2022,” katanya.

Asyraf berkata, BN yakin boleh memperoleh kemenangan pilihan raya selepas melihat momentum sokongan yang semakin meningkat.

“Alhamdulillah, saya telah pun menjelajah hampir dua pertiga DUN seluruh Johor. Saya tengok momentum dia kian meningkat dan yang paling menguja saya ialah dalam kalangan pengundi bukan Melayu terutama pengundi Cina dan India.

“Mereka mengalu-alukan kehadiran calon calon kita mengalu-alukan pemimpin-pemimpin kita. Setiap kali kempen yang kita lakukan dan fokus kita kali ini dengan kehadiran sukarelawan-sukarelawan daripada pelbagai peringkat adalah untuk mereka turun ke setiap rumah-rumah, itu lebih berkesan.

“Sebab itu kalau tengok kita tak banyak ceramah-ceramah mega, ceramah umum, kita memfokuskan kepada gerak kerja untuk mereka bertemu dengan seberapa banyak pengundi dan alhamdulillah saya boleh katakan minggu pertama mereka telah selesai pergi ke hampir semua rumah dan minggu yang keduanya adalah untuk mereka sulam saja,” jelasnya.

Beliau berkata, antara lain fokus BN pada minggu terakhir kempen ini, adalah mengenai pengundi atas pagar dan pengundi yang bukan pengundi parti itu.

Katanya, beliau juga mengingatkan jentera untuk menjaga akhlak, adab dna tidak memaki hamun serta buat fitnah.

“Pendekatan BN selama ini kempen kita adalah kempen secara berhemah,” katanya.

Menjelang hari mengundi Sabtu ini, Asyraf Wajdi berharap rakyat keluar mengundi dan menjalankan tanggungjawab dan amanah serta memberikan mandat sekiranya mahu agenda yang ditawarkan Menteri Besar dibawa ke hadapan.

“Kita nak mandat rakyat bukan kerana nak bebaskan sesiapa bukan kerana tamak, bukan kerana angkuh atau sombong tetapi kerana beliau (Onn Hafiz) meletakkan agenda besar untuk menjadikan Johor Maju 2030.

“Biar rakyat yang menentukan kalau mereka nak dan mereka bersedia untuk menerima gagasan ini, mereka undilah Barisan Nasional, kalau tidak nauzubillah,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast