MUAR – Kisah peperangan antara Pandawa dan Kurawa dalam epik Mahabharata yang diangkat menerusi tradisi pewayangan Jawa dijadikan tauladan pertembungan politik sesama bangsa sendiri akhirnya hanya membawa kerugian.
Pengasas Persatuan Jawa Parit Bugis, Johar Paimin berkata, kisah tersebut bukan sekadar persembahan dalam wayang kulit, sebaliknya mengandungi falsafah yang masih relevan untuk difahami dalam suhu politik Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, Mahabharata mengisahkan perebutan takhta di kerajaan Hastinapura selepas kemangkatan Raja Pandu apabila hak pemerintahan yang sepatutnya diwarisi lima bersaudara Pandawa dipertikaikan oleh sepupu mereka daripada pihak Kurawa yang dipimpin Duryodhana.

“Ini sebenarnya kisah pergolakan politik dan perang saudara dalam sebuah keluarga yang mana mereka bukanlah orang luar, tetapi berasal daripada keturunan dan datuk yang sama.
“Apabila peperangan berlaku, akhirnya yang berperang ialah keluarga sendiri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Keraton Mbah Anang, pusat warisan dan kebudayaan Jawa di Kampung Parit Bugis, Muar, di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun Pandawa akhirnya muncul sebagai pemenang dalam peperangan Kurukshetra, kemenangan tersebut tidak membawa kegembiraan kerana ramai ahli keluarga, guru dan insan yang disayangi terkorban.
“Jadi apabila kita berselisih dalam suasana pilihan raya, tidak perlulah terlalu seronok jika dah menang atau sedih berlebihan akibat kalah.
“Masyarakat perlu memahami bahawa pertembungan politik sesama bangsa hanya akan melemahkan kekuatan sendiri. Kitalah Kurawa dan kitalah Pandawa,” katanya.

Mengulas lanjut, Johar berkata watak Bhishma turut membawa pengajaran besar apabila panglima tua itu mengetahui Pandawa berada di pihak yang benar, namun tetap bersama Kurawa kerana kesetiaannya kepada keluarga.
Katanya, keadaan itu menggambarkan bahawa dalam politik sering berlaku pertembungan antara kesetiaan dan kebenaran, namun kebenaran tidak mampu disembunyikan selama-lamanya.

“Kita boleh bohong kepada seorang dalam satu masa, tetapi kita tidak boleh bohong kepada semua orang sepanjang masa kerana akhirnya kebenaran tetap akan menang.
“Pengajaran itu mengingatkan ahli politik dan masyarakat supaya sentiasa bermuhasabah sebelum mencari kesalahan pihak lain,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan penyokong parti supaya tidak terlalu taksub sehingga hilang pertimbangan ketika berkempen.
“Jangan poyo sangat hendak menang sedangkan apabila kalah politik ini akan berlalu, tetapi persaudaraan dan hubungan sesama kita perlu terus dipelihara,” katanya. – MalaysiaGazette
















