Gambar JPBPM

KUANTAN – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal ditemukan maut dipercayai selepas terhidu asap tebal dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Seri Mahkota Jaya di sini, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.31 pagi dan kebakaran membabitkan ruang tamu rumah dengan anggaran kemusnahan kira-kira 15 peratus.

“Semasa operasi pemadaman, bomba menemukan mangsa tidak sedarkan diri di katil dalam posisi duduk di dalam bilik berhampiran ruang tamu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Razam berkata mangsa G. Vithalinggam yang berusia 60-an tidak mengalami kesan melecur pada badan dan dipercayai bersendirian di rumah kerana adik perempuan serta iparnya mempunyai urusan di klinik.

Beliau berkata operasi melibatkan hampir 20 pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas serta BBP Indera Mahkota.

Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, adik perempuan mangsa G. Lomba, 64, berkata mengetahui tentang kebakaran itu selepas dihubungi jirannya pada kira-kira 10 pagi.

“Sebelum keluar ke klinik pada kira-kira 7 pagi, saya sempat menyediakan sarapan dan nampak abang sudah bangun,” katanya.

Lomba berkata menjaga abangnya sejak tiga tahun lepas dan mendiang menjalani pembedahan pada kaki akibat komplikasi penyakit kencing manis lebih dua tahun lepas.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast