KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan Kementerian Pertahanan menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway.
Arahan itu dibuat Jemaah Menteri susulan tindakan negara itu membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) yang sepatutnya dilengkapkan pada Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri juga telah meneliti isu terkini tindakan Kerajaan Norway itu.
Sebelum ini media melaporkan, Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport bagi peluru berpandu antikapal NSM yang ditempah Malaysia daripada Kongsberg menerusi kontrak pada 2018 untuk melengkapkan enam kapal LCS, atas alasan eksport teknologi pertahanannya hanya akan dihadkan kepada ‘sekutu dan rakan terdekat’.
Menurut Norway, pendekatan itu dibentuk oleh keadaan keselamatan yang berkembang di Eropah dan seluruh dunia, sekali gus mendorong kerajaan mereka memperkukuh pengawasan ke atas teknologi pertahanan yang dibangunkan dalam negara.
Artikel berkaitan: Isu batal perolehan peluru berpandu: Khaled jumpa rakan sejawat dari Norway
Perolehan peluru berpandu: Anwar nyatakan bantahan keras Malaysia kepada PM Norway
Menteri Pertahanan Norway mohon maaf kepada Malaysia
Penggantian NSM dari Norway selesai dua atau tiga tahun lagi – PAT
Bagaimanapun, Norway menegaskan mereka menghargai hubungan dua hala dengan Malaysia dan berharap kerjasama serta dialog membina antara kedua-dua negara akan diteruskan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengulas tindakan Norway itu berkata, kementeriannya sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menilai skop penuh tindakan undang-undang terhadap KDA.
Langkah itu diambil kerana kerajaan sudah membayar hampir 95 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak, berjumlah lebih bernilai 124 juta euro (RM571.9 million) menerusi kontrak yang ditandatangani antara tentera laut dan syarikat pembekal, Kongsberg Defence & Aerospace (KDA), pada April 2018. – MalaysiaGazette
















