KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pengundi Johor menolak Parti Kancil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini dengan memberi mesej jelas bahawa rakyat bukan ‘bahan uji kaji’ kepada parti politik yang baharu ditubuhkan.
Exco AMK, Amira Alias berkata, rakyat kini mahukan kestabilan politik, dasar yang konsisten serta kerajaan yang benar-benar mampu menyelesaikan masalah mereka, bukannya menjadi medan percaturan parti yang belum terbukti kemampuannya.
Menurut beliau, politik yang sering berubah-ubah dan percaturan yang hanya mengutamakan kepentingan parti akhirnya akan memberi kesan kepada ekonomi, keyakinan pelabur serta kesejahteraan rakyat.
“Bagi saya, pengundi di Johor harus menyampaikan mesej yang jelas bahawa mereka ini bukan dijadikan sebagai bahan uji kaji mana-mana parti politik.
“Rakyat hari ini mahukan kestabilan, mereka mahukan dasar yang konsisten dan sebuah kerajaan yang benar-benar bekerja untuk selesaikan masalah mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, PRN Johor bukan sekadar memilih calon atau parti, sebaliknya menentukan hala tuju negeri dan negara bagi tempoh beberapa tahun akan datang.
Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu membuat keputusan berdasarkan rekod pencapaian, fakta serta perancangan masa depan, bukannya dipengaruhi fitnah, khabar angin atau politik kebencian.
“Saya percaya rakyat hari ini semakin matang. Mereka mampu menilai siapa yang benar-benar bekerja, siapa yang konsisten membawa dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dan siapa yang hanya muncul apabila musim pilihan raya sahaja,” katanya.
Amira berkata, mandat rakyat bukan cek kosong kepada mana-mana kerajaan, sebaliknya satu amanah yang perlu diterjemahkan melalui pentadbiran yang stabil dan berkesan.
Beliau yakin sekiranya rakyat mahukan kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi yang mampan serta reformasi berterusan, kerajaan sedia ada wajar diberi peluang meneruskan agenda yang sedang dilaksanakan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara pencapaian kerajaan ketika ini ialah mewujudkan suasana politik yang lebih stabil sehingga membolehkan pelaksanaan dasar ekonomi dilakukan dengan lebih tersusun.
Katanya, usaha kerajaan menarik pelaburan berkualiti bukan sekadar meningkatkan nilai pelaburan negara, malah membuka peluang pekerjaan, membangunkan industri bernilai tinggi serta memperkukuhkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
“Pelaburan ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi membawa peluang pekerjaan kepada rakyat, pembangunan industri bernilai tinggi dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara. Kesan usaha ini mungkin tidak berlaku dalam sehari, namun ia menjadi asas penting kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka panjang,” katanya. – MalaysiaGazette
















