JOHOR BAHRU- Masyarakat India di Johor perlu membuat pilihan berdasarkan prestasi dan rekod pencapaian kerajaan bukan terpengaruh retorik politik yang tidak membawa manfaat.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Gunaraj George berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi medan terbaik untuk rakyat menilai parti yang benar-benar mempunyai rekod membangunkan negeri serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.
“Sudah tiba masanya masyarakat India mara ke hadapan bersama prestasi Pakatan Harapan (PH). Buatlah pilihan berdasarkan apa yang telah dilaksanakan, bukan persepsi atau janji yang tidak ditunaikan.
“Pengundi hari ini bijak menilai siapa yang bekerja, siapa yang membawa hasil dan siapa yang sekadar menjual retorik politik. Saya yakin masyarakat India akan membuat pilihan terbaik demi masa depan Johor,” katanya hari ini.
Gunaraj berkata, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Madani telah memperkenalkan pelbagai dasar bagi meningkatkan taraf hidup rakyat termasuk menangani kos sara hidup, memperkukuh pendidikan, memperluas peluang pekerjaan serta memperkasa usahawan.
Beliau berkata, antara langkah yang memberi manfaat kepada komuniti India ialah peningkatan peruntukan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) kepada RM150 juta, selain penambahan dana pembiayaan usahawan India menerusi Tekun Nasional kepada RM100 juta.
Katanya, kerajaan turut memperuntuk RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi memperkasa usahawan wanita serta menyediakan RM50 juta untuk pembangunan sekolah Tamil.
“Kerajaan Madani tidak menunggu pembentangan belanjawan semata-mata untuk membantu rakyat. Perdana Menteri melihat keperluan semasa dan mengambil tindakan segera apabila diperlukan.
“Ramai usahawan India telah menerima manfaat daripada inisiatif ini. Sebab itu saya menggesa masyarakat India menilai berdasarkan fakta dan prestasi kerana banyak lagi dasar yang telah diumum serta dilaksanakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji pendekatan Anwar yang menurutnya konsisten memperjuangkan politik berteraskan dasar, prestasi dan perpaduan sekali gus menolak politik perkauman sempit.
“Malaysia memerlukan politik yang berteraskan penyelesaian kepada masalah rakyat bukannya politik yang hanya memainkan sentimen kaum.
“Kepelbagaian adalah kekuatan negara dan setiap dasar perlu memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa meminggirkan mana-mana komuniti,” tegasnya.
Sehubungan itu, Gunaraj menyeru masyarakat India supaya terus memberikan sokongan kepada PH bagi memastikan agenda pembangunan, perpaduan dan kemakmuran dapat diteruskan.
“PRN Johor bukan sekadar pertandingan politik, tetapi penentuan hala tuju masa depan negeri. Marilah kita melangkah ke hadapan bersama prestasi, kestabilan dan harapan untuk Johor yang lebih maju,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















