KULAI – Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dan DUN Senai hari ini mengumumkan Pelan Tindakan N50 Bukit Permai dan N52 Senai sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon DUN Bukit Permai dan calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ali dan Wong Bor Yang memberitahu, pelan tersebut mempunyai lapan teras iaitu memberi tumpuan kepada keperluan asas rakyat.
Jelasnya, antara tawaran diberikan iaitu mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, memperkukuh tadbir urus kerajaan tempatan dan menambah baik pengangkutan awam.
“Ini termasuk menyelesaikan isu tanah, membina komuniti yang lebih berkualiti, merancakkan ekonomi tempatan serta memperluas akses kepada perumahan mampu milik,” katanya dalam sidang akhbar di Indahpura di sini hari ini.
Menurut mereka, tawaran pertama adalah Mengurangkan Kesesakan Lalu Lintas iaitu melibatkan naik taraf persimpangan bertingkat bandar Putra, membina jalan alternatif Saleng-Jalan Jumbo dan mempercepat pelaksanaan jalan pintasan projek Senai-Kulai.
Kedua katanya, Memperkasakan Perkhidmatan Kesihatan iaitu dengan langkah mempercepat pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Bandar Putra dan mempercepat pembinaan KK Taman Mewah Senai.
“Ini kerana KK Senai yang dinaik taraf daripada klinik desa sebelum ini sudah tidak dapat menampung kapasiti pesakit yang bertambah sekarang ini,” katanya.
Pelan ketiga kata beliau, membabitkan Memperkasa Tadbir Urus Kerajaan Tempatan iaitu langkah memastikan kadar cukai harta yang munasabah serta memperketat pemantauan prestasi konsesi dan kontraktor.
Jelasnya, ia termasuk melaksanakan program turun padang secara berkala bagi menilai impak projek kepada penduduk.
Sementara yang keempat katanya, Melengkapkan Rangkaian Pengangkutan Awam (Last Mile Connectivity) iaitu memperluaskan liputan Bas Muafakat Johor.
“Ini termasuk menambah laluan Bas.My mengikut keperluan penduduk di samping membina lebih banyak jejantas dan kemudahan pejalan kaki yang selamat,” katanya.
Kelima, katanya, Menyelesaikan Isu Tanah Secara Sistematik yang melibatkan langkah mempercepat penyelesaian kes hak milik dan pertindihan lot selain juga mempercepat proses lanjutan pajakan tanah.
“Keenam adalah Membina Komuniti yang Selamat dan Berkualiti. Ini melibatkan menambah baik sistem perparitan dan tebatan banji,” katanya.
Juga katanya, membabitkan kerja-kerja menaik taraf taman rekreasi, lampu jalan dan kemudahan awam serta memperkukuh kerjasama antara komuniti, penduduk dan pihak berkuasa serta menangani isu sampah dan pencemaran secara lebih berkesan.
Ketujuh Merancakkan Ekonomi Tempatan iaitu memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk penduduk tempatan selain memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan.
Termasuk menjayakan inisiatif MyKiosk dan memperkenalkan idea baharu bagi mempromosikan produk pelancongan dan ekonomi tempatan, katanya.
“Akhir sekali iaitu Memperluas Akses kepada Perumahan Mampu Milik. Ini adalah usaha memperjuangkan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Daerah Kulai,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















