Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan ancaman denggi walaupun jumlah kes itu di negeri ini menurun sebanyak 34 peratus tahun ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kewujudan 60 lokaliti wabak aktif setakat 24 Jun lalu membuktikan denggi masih menjadi ancaman kesihatan awam yang memerlukan tindakan berterusan daripada semua pihak.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri, Daniel Gooi Zi Sen, Daerah Timur Laut merekodkan jumlah lokaliti wabak tertinggi iaitu 27.

“Walaupun jumlah kes menurun daripada 946 kes dalam tempoh sama tahun lalu kepada 629 kes tahun ini, manakala jumlah kematian berkurangan daripada tiga kepada satu kes, kewujudan wabak aktif di seluruh negeri menunjukkan denggi masih merupakan ancaman kesihatan awam yang serius.

“Pencegahan denggi merupakan tanggungjawab bersama dan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada operasi penyemburan kabus (fogging) oleh Kementerian Kesihatan kerana kaedah itu hanya membantu mengurangkan populasi nyamuk dewasa, bukan menghapuskan tempat pembiakannya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohideen Abdul Kader.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, tinjauan pihaknya di beberapa lokasi di negeri ini, khususnya di sepanjang tapak pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara mendapati air bertakung di dalam rongga penghadang jalan dan bahan binaan yang menyediakan persekitaran sesuai untuk pembiakan nyamuk.

Selain itu, katanya, terdapat juga longkang tersumbat dan air bertakung di kawasan awam yang terus menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes.

“Peningkatan sisa plastik daripada aktiviti pembelian dalam talian dan perkhidmatan penghantaran makanan seperti pembalut plastik, cawan, bekas makanan, botol serta bahan pembungkusan yang tidak dilupuskan dengan sempurna turut berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk apabila menakung air hujan.

“Justeru pihak berkuasa tempatan mesti memperhebat pemeriksaan dan penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab mewujudkan tempat pembiakan nyamuk.

“Pemaju dan kontraktor juga perlu memastikan kebersihan, sistem perparitan yang berkesan serta pengurusan tapak pembinaan yang teratur bagi mengelakkan takungan air,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast